Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera Israel mengumumkan bahawa rakyat Palestin di semenanjung Gaza dilarang menghampiri pusat-pusat agihan bantuan kemanusiaan pada Rabu.


Jurucakap tentera, Avichay Adraee, menyatakan dalam satu hantaran di platform X bahawa pusat-pusat agihan tersebut akan kekal ditutup bagi tujuan pengubahsuaian, penyusunan semula dan penambahbaikan kecekapan.


Adraee menggesa penduduk Gaza agar memberi perhatian kepada pengumuman yang dibuat oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) bahawa pusat-pusat berkenaan akan ditutup pada Rabu.


Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa sebarang pergerakan di jalanan menuju ke pusat-pusat agihan yang dianggap sebagai zon konflik serta memasuki kawasan pusat bantuan adalah dilarang sama sekali.


Pada pagi Selasa, tentera Israel menyasarkan rakyat Palestin yang sedang menunggu bantuan di sebuah lokasi yang ditetapkan di Bulatan al-Alam, bandar selatan Rafah dan mengakibatkan 27 orang terbunuh.


Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sejak 27 Mei serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di kawasan agihan bantuan yang ditubuhkan oleh GHF (yang disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat) telah mengorbankan seramai 102 orang dan mencederakan 490 yang lain.


Sejak Oktober 2023, Israel telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas semenanjung Gaza, menyebabkan hampir 54,500 rakyat Palestin terbunuh. Kebanyakan mangsa merupakan golongan wanita dan kanak-kanak


Ekoran krisis yang berlarutan, agensi-agensi bantuan telah memberi amaran tentang risiko kebuluran yang menghantui lebih dua juta penduduk Gaza.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
June 5, 2025