
Kabinet rejim Israel pada Ahad meluluskan rancangan pembinaan sebuah kompleks ketenteraan dan pertahanan di tapak bekas premis Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitul Maqdis Timur yang sebelum ini dirobohkan oleh pihak berkuasa rejim Israel.
Dalam kenyataan bersama, Kementerian Pertahanan wilayah haram Israel dan Majlis Perbandaran Baitul Maqdis memaklumkan bahawa kompleks baharu itu akan menempatkan sebuah muzium ketenteraan, pejabat pengambilan tentera serta pejabat Menteri Pertahanan wilayah haram Israel di Sheikh Jarrah, Baitul Maqdis Timur.
Menteri Pertahanannya, Israel Katz menyifatkan keputusan tersebut sebagai simbol ‘kedaulatan, Zionisme dan keselamatan.’Rejim Israel pada Januari lalu merobohkan beberapa struktur di dalam kompleks UNRWA selepas merampas tapak berkenaan tahun lalu. Tindakan itu dikecam agensi berkenaan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
UNRWA dilaporkan tidak lagi menggunakan bangunan tersebut sejak awal tahun lalu selepas pihak berkuasa rejim Israel mengarahkan agensi itu mengosongkan semua premis dan menghentikan operasinya. Jurucakap UNRWA bagaimanapun enggan mengulas mengenai rancangan terbaharu rejim Israel itu.
UNRWA beroperasi di Baitul Maqdis Timur, wilayah yang dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan majoriti negara dunia sebagai kawasan yang diduduki rejim Israel sejak perang Asia Barat 1967 selepas wilayah itu dirampas daripada Jordan. Namun, rejim Israel menganggap seluruh Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya yang tidak boleh dibahagikan.
Selain di Baitul Maqdis Timur, UNRWA turut beroperasi di Gaza, Tebing Barat dan beberapa wilayah lain di Asia Barat dengan menyediakan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, bantuan sosial dan perlindungan kepada jutaan rakyat Palestin.
Dalam kenyataannya, Israel Katz turut mendakwa bahawa tiada lokasi yang lebih ‘simbolik dan wajar’ untuk pembinaan institusi pertahanan rejim Israel selain di atas runtuhan bekas kompleks UNRWA, sambil menuduh sebahagian kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023.
Israel sebelum ini mendakwa beberapa kakitangan UNRWA mempunyai kaitan dengan HAMAS dan terlibat dalam serangan ke atas wilayah haram itu yang menurut pihak rejim Israel mengorbankan kira-kira 1,200 orang serta mencetuskan perang di Gaza.
UNRWA telah memecat beberapa kakitangannya susulan dakwaan tersebut, namun menegaskan bahawa rejim Israel gagal mengemukakan bukti bagi semua tuduhan yang dibuat. Mantan Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini sebelum ini turut menuduh Israel melancarkan kempen maklumat palsu berskala besar terhadap agensi berkenaan.
Sumber: Reuters, Anadolu Ajansi