Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Kerajaan Israel mengumumkan perancangan mereka untuk mempercepatkan pembinaan penempatan haram Israel di Dataran Tinggi Golan Syria dan matlamat strategik untuk menggandakan penduduk Israel di kawasan itu.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menekankan kepentingan memperkukuh kawalan Israel ke atas kawasan itu, menyifatkan ia adalah untuk keselamatan dan kedaulatan negara.Menurut platform berita Lubnan, Al Mayadeen, tentera Israel telah meluaskan jajahan mereka di kawasan luar bandar Quneitra dan mara ke lokasi utama, termasuk bandar el-Maalgah di selatan Syria.

Tentera Israel dilaporkan telah merampas kawalan sumber air tawar yang kritikal di lembangan Sungai al-Yarmouk dan kini mereka berada 15 kilometer dari lebuh raya antarabangsa Damsyik-Beirut.

Terbaharu, agensi berita Anadolu melaporkan bahawa tentera Israel telah menjajah tiga kampung di Syria iaitu Jamlah di Daraa; Mazraat Beit Jinn dan Mughr al-meer yang berhampiran Damsyik.

Sementara itu, Saluran 12 mengesahkan kelulusan kerajaan terhadap rancangan untuk menggalakkan pertumbuhan demografi di Bukit Golan dan Katzrin. Mereka menyifatkan ancaman di Syria semakin meningkat.

Menteri Keselamatan Israel, Israel Katz menekankan risiko ini semasa perbincangan mengenai belanjawan pertahanan Israel.Minggu lepas, Netanyahu menegaskan bahawa Bukit Golan akan kekal untuk Israel selama-lamanya dan wilayah itu penting untuk keselamatan negara haram Israel. Bagaimanapun, negara-negara antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap tindakan Israel menceroboh sempadan Syria telah melanggar perjanjian 1974.

Ahmad al-Sharaa, ketua pentadbiran baharu Syria dan pemimpin Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) menyatakan bahawa pentadbirannya tidak berniat untuk terlibat dengan Israel secara ketenteraan.

Tentera Israel terus melakukan serangan udara di Syria, menyasarkan gudang penyimpanan senjata dan tapak tentera. Mereka mendakwa telah menceroboh lebih 90% sistem pertahanan udara Syria. Laporan daripada Sputnik mencatatkan kira-kira 52 serangan Israel pada hujung minggu, membawa kepada kemusnahan meluas di seluruh wilayah Syria.

Sumber: The Palestine Chronicles, Anadolu, Al Mayadeen

Written by
Admin
Published on
December 16, 2024