Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Israel mengumumkan akan memperketat sekatan ke atas Gaza meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata yang menuntut peningkatan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu, selepas dua tahun serangan dan kebuluran akibat tindakan rejim Zionis.


Israel menyatakan bahawa lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir akan kekal ditutup sehingga Rabu. Israel kini hanya membenarkan separuh daripada jumlah trak bantuan yang dijanjikan untuk dibenarkan masuk.


Israel turut memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa tiada bekalan bahan api atau gas akan dibenarkan masuk ke Gaza kecuali jumlah minimum yang dianggap perlu untuk ‘infrastruktur kemanusiaan’.


Israel mendakwa langkah itu diambil kerana Hamas didakwa terlalu lambat menyerahkan mayat tawanan yang telah meninggal dunia.


Menurut rundingan gencatan senjata, wakil HAMAS dilaporkan mengatakan bahawa kehadiran tentera Israel dan serangan genosid yang membabi buta oleh Israel telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran di Gaza, sekali gus menyukarkan usaha mencari mayat tawanan yang memerlukan masa dan tenaga yang besar.


“Mereka menjelaskan dalam rundingan bahawa masa dan usaha yang besar diperlukan selepas pengunduran tentera penjajah Israel bagi mengumpulkan maklumat mengenai mayat,” kata sumber HAMAS kepada Middle East Eye (MEE).


Pada hari Isnin, HAMAS telah membebaskan 20 tawanan hidup serta menyerahkan mayat empat tawanan yang telah meninggal dunia. Dua puluh lapan lagi mayat tawanan dijangka diserahkan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.


Agensi bantuan antarabangsa turut menegaskan bahawa bantuan berskala besar amat diperlukan bagi mengurangkan kebuluran dan penderitaan di Gaza selepas dua tahun peperangan tanpa henti.


Menurut jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Ricardo Pires pada hari Selasa: 


“Kami memerlukan semua lintasan sempadan dibuka. Semakin lama Rafah kekal ditutup, semakin lama penderitaan berlanjutan bagi penduduk Gaza, terutamanya mereka yang berpindah ke selatan.”


Menurut agensi-agensi Amerika Syarikat (AS), setakat ini semua bantuan hanya disalurkan melalui bahagian selatan dan tengah Lintasan Kissufim, manakala kawasan utara Gaza — pusat krisis kemanusiaan yang sedang menyaksikan kepulangan puluhan ribu penduduk — masih ditutup.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
October 16, 2025