Buat kali pertama, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz secara terbuka mengakui bahawa negaranya bertanggungjawab membunuh Ketua Politik HAMAS, Ismail Haniyeh dan memberi amaran bahawa kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman juga akan menerima tamparan hebat.
Dalam ucapannya pada Isnin malam dalam majlis penghargaan kepada kakitangan Kementerian Pertahanan, Katz berkata Israel telah memberikan tamparan hebat kepada paksi kejahatan dan mereka juga akan memberikan tamparan hebat kepada organisasi Houthi di Yaman yang kekal sebagai kubu terakhir mereka.
“Apabila organisasi pengganas Houthi melancarkan peluru berpandu ke arah Israel, saya ingin menyampaikan mesej yang jelas kepada mereka: Kami telah menewaskan HAMAS, kami telah menewaskan Hizbullah, kami telah membutakan sistem pertahanan Iran dan merosakkan sistem pengeluaran mereka, kami telah menggulingkan rejim Assad di Syria,” kata Katz.
Tambahnya lagi, "Israel akan merosakkan infrastruktur strategik Houthi dan kami akan memenggal ketua mereka – sama seperti yang kami lakukan kepada Haniyeh, Sinwar dan Nasrallah di Tehran, Gaza dan Lubnan – kami akan melakukannya di Hodeidah dan Sanaa [Yaman].”
Ismail Haniyeh dibunuh pada 31 Julai ketika melawat Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Pada 28 September 2024, Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah yang telah lama memegang tampuk kepimpinan dibunuh dalam serangan udara besar-besaran Israel di Beirut. Tentera Israel mengaku mendakwa atas pembunuhan tersebut lebih awal pada hari yang sama.
Pada 18 Oktober 2024, HAMAS mengesahkan Yahya Sinwar terbunuh di dalam sebuah bangunan kediaman di Tel al-Sultan, Rafah. Beliau dibedil dengan tembakan meriam dan peluru berpandu hingga meragut nyawanya. Jenazahnya dibiarkan begitu sahaja untuk beberapa ketika kerana Zionis bimbang jika terdapat perangkap bom.
Sejak beberapa bulan yang terkini, kumpulan Houthi telah melancarkan banyak serangan peluru berpandu ke atas Israel, termasuk serangan ke Tel Aviv pada hari Sabtu baru-baru ini menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik. Lebih 12 orang mengalami kecederaan ringan apabila peluru berpandu itu berjaya dipintas sistem pertahanan Israel dan menghentam taman awam di Jaffa.
Sumber: Al Jazeera