Pejabat Media Kerajaan Gaza mengecam keras arahan Israel yang menghalang penduduk Gaza yang kelaparan daripada mengakses laut. Tindakan terkini Israel itu disifatkan sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan untuk melaparkan penduduk dan menyasarkan salah satu sumber penting kehidupan mereka.
Sebagai respon kepada arahan Israel itu, Ketua Pengarah Pejabat Media Kerajaan di Gaza, Dr. Ismail Al-Thawabta memberitahu Quds News Network bahawa ancaman ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia untuk bekerja dan hidup dengan bermaruah.
“Penjajah bukan sahaja menutup lintasan darat, malah mengenakan sekatan maritim yang menghalang ribuan nelayan daripada menjalankan pekerjaan mereka, serta menyasarkan mereka dengan tembakan peluru hidup. Tindakan ini merupakan satu bentuk hukuman kolektif dan jelas melanggar Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya, serta Konvensyen Geneva Keempat yang melindungi orang awam ketika waktu perang,” ujarnya.
Menurut al-Thawabta, sepanjang genosid yang sedang berlangsung, Israel telah melakukan jenayah mengerikan terhadap sektor perikanan:
Kemusnahan ini telah mematikan satu-satunya sumber pendapatan bagi ribuan keluarga dan menyebabkan runtuhnya sumber makanan laut. Ini juga merupakan pelanggaran terhadap perjanjian antarabangsa yang menjamin hak untuk bekerja dan hidup bermaruah.
Perang genosid Israel telah menyebabkan kemusnahan besar dan belum pernah terjadi sebelum ini merentasi 15 sektor penting dengan anggaran kerugian langsung awal melebihi $62 bilion. Daripada jumlah itu, sektor pertanian dan perikanan sahaja telah mengalami kerugian langsung sebanyak $2.2 bilion.
Tentera Israel pada pagi Sabtu mengeluarkan ancaman kepada penduduk Gaza, menyatakan bahawa memasuki laut akan mendedahkan mereka kepada risiko.
“Kami menggesa para nelayan, perenang dan penyelam supaya tidak memasuki laut. Memasuki laut di sepanjang semenanjung Gaza mendedahkan anda kepada bahaya,” ugut jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan.
Di Gaza yang dikepung Israel, di mana setiap laluan darat disekat sambil dihujani pengeboman dan ancaman pengusiran paksa, laut menjadi satu-satunya ufuk terbuka sehinggalah ancaman terbaru Israel menjadikan ia zon berbahaya.
Ramai nelayan kini bergantung kepada penangkapan ikan sebagai sumber utama pendapatan, dan sebahagian penduduk Gaza pula bergantung kepada ikan sebagai sumber protein di tengah-tengah sekatan makanan oleh Israel.
Sumber: Quds News Network