Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera rejim Israel melancarkan serangan ke atas Institusi Kewangan al-Qard al-Hasan di ibu negara Lubnan, Beirut selepas pihaknya mengeluarkan kenyataan bahawa cawangan badan amal yang berkaitan dengan Hizbullah itu akan menjadi sasaran.

Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan serangan pada Isnin semalam ke atas bangunan Al-Qard al-Hasan di kawasan Bir al-Abed, di kejiranan selatan Haret Hreik dan sebuah lagi cawangan di sepanjang jalan menuju lapangan terbang antarabangsa Beirut.

Sistem kewangan alternatif ini yang beroperasi di luar sistem kewangan rasmi Lubnan bagi menyediakan pinjaman tanpa faedah dan perkhidmatan kewangan lain, telah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat sejak (AS) 2007.

Pihak berkuasa Lubnan turut menutup beberapa jalan dan mengalihkan trafik menuju cawangan Al-Qard al-Hasan di Nouairi, sebuah kawasan di tengah Beirut.

Menurut Zeina Khodr dari Al Jazeera, penduduk kini hidup dalam ketakutan. “Walaupun Israel telah mengeluarkan amaran, kebiasaannya serangan berlaku tanpa sebarang notis awal,” katanya.

Serangan tambahan dilaporkan di pinggir selatan Beirut, yang sebahagian besarnya telah dikosongkan selepas rejim Israel mengeluarkan amaran pemindahan paksa pada minggu lalu. Mereka yang terjejas oleh pengusiran paksa di selatan Lubnan membentuk hampir 8 peratus daripada populasi negara itu.

NNA melaporkan bahawa serangan udara rejim Israel telah menjejaskan kawasan Ghobeiry, Haret Hreik dan kawasan Safir.Kawasan tengah Beirut, Nouairi, kini menempatkan ramai penduduk yang dipindahkan selepas dipaksa keluar dari rumah mereka sejak peningkatan serangan rejim Israel di seluruh Lubnan pada minggu lalu. Khodr berkata, pihak berkuasa tempatan menasihati orang ramai di kawasan itu agar meninggalkan lokasi tersebut.

“Tetapi ada sebuah sekolah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan berhampiran, dan ramai memilih untuk tidak meninggalkan kawasan itu,” tambahnya. Presiden Lubnan, Joseph Aoun berkata pada Isnin bahawa beliau telah memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa mengenai kesediaan Lubnan untuk menyambung rundingan bagi menghentikan serangan rejim Israel.

Rejim Israel sebelum ini mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah pada November 2024, namun terus meneruskan pelanggaran hampir setiap hari yang telah membunuh ratusan orang dan mencederakan ramai lagi.

Pertempuran meletus semula selepas rejim Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran, sekutu Hizbullah.Sehingga kini, serangan udara rejim Israel telah membunuh lebih 400 orang dan memindahkan ribuan penduduk di seluruh Lubnan sejak Hizbullah membalas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dengan menyambung serangan rentas sempadan pada 2 Mac.

Menteri Hal Ehwal Sosial Lubnan berkata, kira-kira 517,000 rakyat telah didaftarkan sebagai penduduk yang dipindahkan sejak konflik disambung semula.


Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
March 10, 2026