Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Isu penahanan jenazah rakyat Palestin oleh rejim Israel kembali mendapat perhatian selepas aktivis hak asasi manusia, Mohammad Jamil mendedahkan bahawa sekitar 1,700 jenazah rakyat Palestin masih ditahan, manakala lebih 2,000 lagi dilaporkan hilang atau dipercayai menjadi mangsa penghilangan paksa.


Menurut Jamil, penahanan jenazah dan penghilangan paksa merupakan antara bentuk jenayah paling kejam kerana penderitaan terhadap keluarga tidak berakhir selepas kematian mangsa.


Keluarga mereka yang hilang terpaksa hidup dalam ketidakpastian kerana tidak mengetahui sama ada insan tersayang masih hidup atau telah meninggal dunia. Dalam masa sama, keluarga mangsa yang jenazahnya ditahan telah dinafikan hak untuk menerima, mengebumikan dan memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga mereka.


Institusi Palestin menyifatkan penahanan jenazah bukan sekadar tindakan terhadap jasad mangsa, sebaliknya digunakan sebagai alat hukuman, penghinaan serta bahan tawar-menawar terhadap keluarga yang ditinggalkan. 


Dasar tersebut bukan perkara baharu. Sejak 1967, ribuan rakyat Palestin dilaporkan dikebumikan di lokasi yang dikenali sebagai Tanah Perkuburan Nombor, yang selama bertahun-tahun dirahsiakan daripada keluarga sehingga menyebabkan nasib dan lokasi jenazah tidak diketahui.


Menurut institusi Palestin, dasar penahanan jenazah kemudiannya berkembang daripada amalan terpencil kepada satu dasar yang melibatkan arahan ketenteraan, undang-undang dan keputusan mahkamah rejim Israel.


Dasar itu semakin meluas selepas perang di Gaza bermula pada Oktober 2023. Ratusan jenazah dilaporkan dipindahkan dari Gaza, manakala ribuan rakyat Palestin masih belum diketahui nasib mereka.


Rejim Israel juga dilaporkan pernah menggunakan penahanan jenazah sebagai alat rundingan. Pada 2017, Kabinet Keselamatan rejim Israel meluluskan pengekalan sebahagian jenazah untuk digunakan dalam rundingan pada masa hadapan, sebelum Mahkamah Agung rejim Israel pada 2019 membenarkan pihak berkuasa tentera menahan jenazah bagi tujuan tersebut.


Kempen Kebangsaan untuk Pengambilan Jenazah Syahid Palestin berkata sehingga Februari 2026, sebanyak 930 jenazah rakyat Palestin telah dipulangkan ke Gaza, selain 66 kotak yang mengandungi sisa jasad manusia.


Namun, isu yang masih belum terjawab ialah nasib ribuan keluarga yang tidak mengetahui di mana jasad atau ahli keluarga mereka berada. Institusi hak asasi Palestin menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan bagi mendedahkan keadaan jenazah sepanjang tempoh penahanan.


Jamil turut menyeru badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan institusi hak asasi antarabangsa supaya menjadikan isu jenazah yang ditahan dan mangsa penghilangan paksa sebagai keutamaan serta meningkatkan tekanan terhadap Israel.


Baginya, rakyat Palestin tidak lagi memerlukan sekadar kecaman dan kenyataan simpati, sebaliknya tindakan antarabangsa yang nyata untuk mendapatkan semula jenazah, mendedahkan nasib mereka yang hilang dan mengembalikan hak keluarga untuk mengebumikan insan tersayang dengan penuh maruah.


Sumber: Shehab News, al-Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 28, 2026