Tentera Israel telah menarik sejumlah besar anggotanya di semenanjung Gaza bagi tujuan untuk memperkuatkan kawalan di sempadan utara dan timur wilayah haram Israel, menurut laporan akhbar Israel, Haaretz pada Ahad.
Langkah penarikan ini berlaku di tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan penyusupan masuk kumpulan penentang dari wilayah Jordan dan Syria, serta potensi penglibatan Hizbullah dalam konflik Israel-Gaza.
Ekoran daripada itu, tentera Israel meningkatkan kehadiran mereka di sepanjang sempadan Jordan - Syria; dan jumlah tentera yang ditempatkan di Gaza telah dikurangkan.
Menurut Haaretz, dalam beberapa hari akan datang, jumlah tentera Israel yang masih berada di Gaza dijangka tinggal kurang daripada separuh keseluruhan jumlah pasukan yang ditempatkan sebelum konflik Israel-Iran tercetus.
Pegawai pertahanan Israel memberitahu Haaretz bahawa keputusan terkini berpunca daripada kebimbangan terhadap proksi Iran yang berpotensi untuk turut campur tangan dalam konflik yang meletus. Kerajaan Israel percaya dengan cara ini, mereka mampu menggagalkan sebarang percubaan serangan luar terhadap komuniti awam atau infrastruktur ketenteraan Israel yang terletak berhampiran pagar sempadan.
Pada 14 Jun lalu, tentera Israel menyatakan bahawa Iran kini menjadi medan perang utama bagi Israel manakala Gaza jatuh kepada keutamaan kedua.
Walaupun Hizbullah telah menyatakan sokongan mereka terhadap Iran, Haaretz melaporkan bahawa perisikan Israel belum mengesan sebarang aktiviti konkrit yang menunjukkan kumpulan itu akan turun ke medan perang dalam masa terdekat.
Namun begitu, kumpulan-kumpulan yang beroperasi di Iraq, Syria dan Yaman digambarkan sebagai sumber kebimbangan yang meningkat.
Tentera Israel turut mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan cubaan pembunuhan terhadap ketua ketenteraan Ansarallah, Muhammad Abdul Karim al-Jamari. Namun menurut agensi berita Iran, Tasnim, al-Jamari dilaporkan terselamat daripada serangan tersebut.
Sebagai tindak balas kepada cubaan pembunuhan itu, Ansarallah menyatakan bahawa mereka akan membalas dan menyeru rakan sekutu mereka untuk bersiap sedia melancarkan apa yang mereka sebut sebagai ‘perarakan menuju ke Israel’.
Sumber: Arrahmah.id