JEPUN BEKUKAN ASET PENDUDUK HARAM ISRAEL DI TEBING BARAT
Sejumlah aset milik empat orang penduduk haram Israel di Tebing Barat telah dibekukan kerajaan Jepun pada hari ini. Khabar itu telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi.
Difahamkan sekatan itu ekoran daripada keganasan penduduk haram Israel di Tebing Barat yang meningkat mendadak sejak 7 Oktober. Malah, ia juga sebahagian daripada usaha negara G7 dan lain-lain dalam menggesa Israel menghentikan keganasan di Tebing Barat.
"Jepun akan terus melaksanakan usaha pembekuan aset dan menggesa pentadbiran Israel untuk segera menghentikan aktiviti penempatan haram, selari dengan kehendak komuniti antarabangsa termasuk G7," jelas Hayashi.
Walaupun tidak dinyatakan individu yang terkesan, media berita Israel, Ynet menamakan Yinon Levi, Zvi Bar Yoseph, Moshe Sharvit dan Neria ben Pazi sebagai pemilik aset yang dibekukan pentadbiran Jepun.
Sementara itu, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada juga telah melaksanakan sekatan ke atas beberapa penduduk haram Israel atas sebab keganasan yang berlaku di Tebing Barat.
Pada 27 Jun, Kanada mengumumkan sekatan ke atas pengasas dan pemimpin Lehava, Ben-Zion Gopstein yang menentang asimilasi Yahudi dengan bukan Yahudi. Selain itu, Elisha Yered juga turut berdepan dengan sekatan yang sama selepas menggalakkan pembunuhan rakyat Palestin atas alasan agama; dan Shalom Zicherman yang didapati bersalah atas tuduhan serangan beberapa aktivis Israel dan kenderaan mereka di Tebing Barat.
Sumber: AlJazeera, Ynet News, Reuters