Menurut tiga pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS), tentera AS sedang menambah dan melanjutkan penempatan pesawat pejuang di Timur Tengah bagi memperkukuh kehadiran ketenteraan di rantau itu ketika konflik Israel-Iran terus memuncak.
Seorang pegawai memaklumkan bahawa penempatan itu melibatkan pesawat pejuang F-16, F-22 dan F-35, manakala dua lagi pegawai menegaskan ia bersifat pertahanan, khususnya bagi menangkis serangan dron dan peluru berpandu.
Setakat ini Pentagon belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung perkembangan tersebut.
Reuters sebelum ini melaporkan pada Isnin bahawa sejumlah besar pesawat tangki udara telah digerakkan ke Eropah manakala sebuah kapal pengangkut pesawat turut dihantar ke Timur Tengah. Langkah ini dilihat dapat memberi pelbagai pilihan kepada Presiden AS, Donald Trump dalam menangani peningkatan ketegangan di Timur Tengah.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menyifatkan penempatan tersebut sebagai langkah pertahanan yang bertujuan untuk melindungi pasukan tentera AS di rantau tersebut daripada sebarang tindak balas oleh Iran atau kumpulan proksi yang bersekutu dengannya.
Seorang lagi pegawai pertahanan AS pada Selasa memaklumkan kemungkinan penempatan tambahan kapal perang tentera laut AS di Laut Mediterranean Timur yang dilengkapi sistem pintasan peluru berpandu balistik.
AS ketika ini sudah pun memiliki kehadiran ketenteraan yang besar di Timur Tengah dengan hampir 40,000 anggota tentera ditempatkan di rantau tersebut. Ia termasuk sistem pertahanan udara, pesawat pejuang serta kapal perang yang berkeupayaan mengesan dan memintas peluru berpandu musuh.
Israel melancarkan serangan udara berskala besar terhadap Iran pada Jumaat lalu selepas mendakwa Tehran hampir mencapai keupayaan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Namun Iran menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa mereka berhak membangunkan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan termasuk proses pengayaan uranium, selaras dengan statusnya sebagai negara anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Sumber: Reuters, Al Jazeera