Raja Abdullah II dari Jordan memaklumkan bahawa baginda akan menerima 2,000 orang kanak-kanak Palestin dari Gaza yang kritikal atau menghidap kanser. Pengumuman itu dibuat semalam dalam sebuah sidang akhbar di Pejabat Oval, Amerika Syarikat (AS) sebagai respons kepada desakan Presiden AS, Donald Trump yang mahu memindahkan penduduk semenanjung Gaza ke Jordan.
Trump memuji penerimaan Jordan itu sebagai 'satu isyarat indah' dan memberi 99% keyakinan terhadap pelan penempatan semula penduduk Gaza yang lebih besar boleh dirangka dengan Mesir dan rakan-rakan serantau lain.
Di dalam sidang media akhbar itu juga Raja Abdullah II menjawab dengan berhati-hati soalan mengenai pemindahan lebih ramai rakyat Palestin dengan menekankan perlunya penyelesaian yang memuaskan semua pihak.
Cadangan Trump untuk memiliki Gaza dan memindahkan penduduknya telah menerima tentangan keras daripada sekutu-sekutu AS di rantau ini. Pada masa yang sama, para pemimpin dunia menegaskan sokongan mereka terhadap penyelesaian dua negara.
Namun, Presiden AS terus mengemukakan idea tersebut dengan menggambarkan Gaza sebagai kawasan peperangan dan menegaskan bahawa rakyat Palestin mungkin lebih suka untuk meninggalkan Semenanjung Gaza.
Sementara itu, di dalam sebuah wawancara dengan Fox News, Trump menyatakan bahawa mereka yang meninggalkan Gaza tidak akan mempunyai hak untuk kembali. Dia juga telah menganggap Jordan dan Mesir sebagai dua negara yang diharapkan untuk menerima rakyat Palestin.
Bagaimanapun, keputusan yang diambil Raja Abdullah II sedikit sebanyak tidak mencerminkan kenyataan baginda pada minggu lalu.
“Yang Mulia Raja Abdullah II menekankan perlunya menghentikan perluasan penempatan (Israel), menegaskan penolakan terhadap sebarang percubaan untuk menjajah tanah dan memindahkan rakyat Palestin,”
umum istana diraja Jordan melalui media sosial, X.
Pada Isnin, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty memberitahu bahawa kerajaan mesir menolak cadangan pengusiran penduduk Palestin dari tanah mereka.