Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jurucakap HAMAS, Hazem Qassem, terselamat daripada cubaan bunuh oleh tentera rejim Israel selepas sebuah dron menyasarkan kenderaan yang dinaikinya berhampiran persimpangan Abbas di bandar Gaza pada Khamis.

Menurut laporan Quds News Network (QNN), dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah kenderaan tersebut dalam usaha membunuh Qassem.Seorang rakyat Palestin, Muhammad Mahmoud al-Fayoumi syahid dalam serangan tersebut, manakala beberapa lagi cedera. Sumber berita Palestin mengesahkan Hazem Qassem terselamat daripada serangan tersebut.

Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan detik peluru berpandu mengenai kenderaan itu, diikuti penduduk dan petugas ambulans yang bergegas memberikan bantuan kecemasan serta memindahkan mangsa yang cedera.

Serangan itu berlaku ketika tentera rejim Israel terus melancarkan operasi ketenteraan di seluruh semenanjung Gaza meskipun rundingan gencatan senjata masih berlangsung.

Pada hari yang sama, di selatan Gaza, dron jenis quadcopter milik rejim Israel menggugurkan bahan letupan berhampiran bulatan Bani Suheila di timur Khan Yunis.

Sementara itu, seorang kanak-kanak Palestin, Muhammad Abu Khamash, syahid selepas menjadi sasaran tentera rejim Israel di timur Deir al-Balah.Sumber tersebut turut memaklumkan sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin syahid dalam serangan rejim Israel di seluruh semenanjung Gaza sejak awal pagi Khamis.

Serangan di bandar Gaza itu merupakan sebahagian daripada siri serangan berterusan rejim Israel ke atas pelbagai kawasan di Gaza, ketika operasi ketenteraan dan pengeboman terus dilancarkan meskipun rundingan bagi mencapai gencatan senjata masih diteruskan.


Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
July 10, 2026