Odai Nahed Quran, seorang jururawat Palestin yang berkhidmat di Hospital al-Aqsa, Gaza Tengah, terbunuh pada Isnin selepas sebuah kotak bantuan yang dijatuhkan melalui udara (airdrop) menghempap kepalanya di kawasan al-Zawaida. Insiden ini sekali gus mencetuskan kecaman terhadap kaedah penghantaran bantuan tersebut yang disifatkan sebagai tidak berkesan dan berbahaya.
Sebelum kematiannya, Odai sempat menyuarakan rasa kecewa terhadap kaedah bantuan udara yang menurutnya menghina maruah rakyat Palestin.
Dalam satu rakaman video, beliau berkata: “Jika kamu mampu menjatuhkan bantuan dari udara, kamu juga mampu memecahkan sekatan melalui laluan darat.”
Beliau turut merayu kepada negara jiran seperti Mesir dan Jordan: “Demi Tuhan, kasihanilah kami.”
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) turut mengecam bantuan udara sebagai satu kaedah bantuan yang tidak mencukupi dan tidak efisien.
Dalam satu kenyataan di platform X, Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini berkata:
“Airdrop sekurang-kurangnya 100 kali lebih mahal daripada penghantaran melalui trak dan kapasiti pesawat jauh lebih kecil berbanding trak.”
“Jika wujud kemahuan politik untuk membenarkan kaedah ini, maka seharusnya ada juga kemahuan untuk membuka laluan darat. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan Gaza daripada kebuluran ialah dengan membanjiri wilayah ini dengan bantuan kemanusiaan secara besar-besaran,” tegasnya.
Lazzarini turut mendedahkan bahawa lebih 6,000 buah trak bantuan kini tersekat di pintu sempadan Gaza kerana tidak mendapat kebenaran masuk.
Menurutnya, semasa gencatan senjata sebelum ini, UNRWA bersama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lain berjaya membenarkan kemasukan 500 hingga 600 trak bantuan setiap hari — jumlah yang mencukupi untuk menyalurkan bekalan kepada seluruh penduduk Gaza secara selamat, bermaruah dan telus tanpa berlaku sebarang penyelewengan.
“Bantuan tersebut berjaya membendung krisis kebuluran yang semakin kritikal. Kami tahu apa yang berkesan, jadi benarkan kami melaksanakan tugas kami,” tegasnya.
Sumber: Quds News Network, The Palestine Chronicle