Minggu lalu, seorang aktivis Mesir, Anas Habib, merakam dirinya menggari pintu pagar Kedutaan Mesir di Belanda sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Palestin yang dikepung oleh Israel dan Mesir di Gaza.
Tindakannya itu merupakan protes simbolik terhadap kegagalan Mesir melaksanakan tanggungjawabnya dalam menghentikan genosid yang dilakukan Israel ke atas Gaza.
Beliau turut melakukan tindakan serupa di pintu pagar Kedutaan Jordan sebagai respons terhadap pendirian kerajaan Jordan berhubung perang yang dilancarkan oleh Israel.
Tindakan itu tular di media sosial dan menjadi inspirasi kepada aktivis antarabangsa di beberapa negara lain, termasuk Turkiye dan United Kingdom (UK), di mana para aktivis turut menggari pagar Kedutaan Mesir sebagai tanda solidariti.
Menurutnya dalam siaran langsung bersama Middle East Eyes pada Selasa:
“Saya pasti seratus peratus bahawa Mesir bersubahat dalam genosid ini. Ini bukan sekadar tuduhan, ini adalah fakta.”
Beliau memaklumkan bahawa dalam tempoh dua bulan pertama perang yang dilancarkan oleh Israel pada akhir 2023, Kaherah sebenarnya mempunyai keupayaan untuk membenarkan kemasukan bantuan dan makanan ke Gaza.
Ketika itu, tentera Israel belum lagi menduduki lintasan Rafah yang menghubungkan Gaza dan Mesir. Namun, Mesir tetap memilih untuk tidak mengambil tindakan.
Menurutnya lagi, peranan bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, dalam menghentikan serangan Israel ke atas Gaza pada tahun 2012 membuktikan bahawa Mesir sebenarnya mampu bertindak tegas.
Insiden itu, katanya, membuktikan potensi sebenar peranan Mesir sekiranya kerajaan Mesir memiliki pendirian yang jelas dan berani dalam mempertahankan rakyat Palestin.
Sumber: Middle East Eye