Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengumumkan bahawa kapal bantuan terbaharu mereka, Handala akan berlepas dari pelabuhan Siracusa, Itali pada 13 Julai ini bagi mencabar sekatan haram Israel ke atas semenanjung Gaza.


Misi ini menyusuli serangan Israel ke atas kapal Madleen di perairan antarabangsa yang menyaksikan 12 aktivis awam termasuk Greta Thunberg diculik, disoal siasat dan didera sebelum dihantar pulang.


Menurut FFC dalam satu kenyataan, ‘kesalahan’ mereka hanyalah cuba membawa bantuan kemanusiaan berupa makanan, ubat-ubatan dan solidariti kepada rakyat Palestin yang dikepung.


Kapal Handala dinamakan sempena watak ikonik ciptaan Naji al-Ali. Kapal itu akan membawa bantuan kemanusiaan dan mesej solidariti dari rakyat seluruh dunia.


Kapal ini membawa sukarelawan yang terdiri daripada pakar perubatan, peguam, aktivis keadilan sosial, wartawan dan penggerak komuniti. Ia juga sebahagian daripada rangkaian antarabangsa yang telah berlayar mencabar sekatan Israel sejak tahun 2010.


Pada 2023 dan 2024, Handala berlayar ke pelabuhan di Eropah Utara dan United Kingdom (UK). Di dalam misi tersebut, pasukan yang terlibat menganjurkan acara kesedaran, seni dan pendidikan politik sebagai usaha membina solidariti global.


Menurut FFC, pelayaran Handala turut memecah sekatan media, mendekati orang ramai, serta membina solidariti melalui sidang media, pemasangan seni dan pendidikan politik di setiap pelabuhan yang disinggahi.


“Kapal ini membawa semangat Handala dan setiap kanak-kanak di Gaza yang telah dinafikan hak terhadap keselamatan, maruah dan kegembiraan,” kata FFC dalam kenyataan mereka.

Sumber: Quds News Network, Middle East Eye

Written by
Admin
Published on
July 7, 2025