Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Keadaan tahanan Palestin di penjara-penjara rejim Zionis Israel, khususnya di Penjara al-Naqab dilaporkan terus merosot susulan penularan penyakit kudis buta (scabies), pengabaian perubatan serta kekurangan keperluan asas yang berterusan. Pejabat Media Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa penyakit kudis buta dan jangkitan kulit kini merebak secara meluas di beberapa pusat tahanan rejim Israel termasuk Penjara al-Naqab, Penjara Ofer, Penjara Megiddo dan Penjara  Janot.


Menurut laporan hasil puluhan lawatan peguam sepanjang April dan Mei 2026, ramai tahanan terpaksa menanggung penderitaan berbulan-bulan tanpa menerima rawatan yang mencukupi. Sebahagian daripada mereka mengalami kegatalan serius, jangkitan kulit, bisul serta ulser, manakala ada yang dijangkiti semula selepas hanya pulih sebahagian daripada penyakit tersebut.


Persatuan Tahanan Palestin mendedahkan bahawa keadaan yang sesak dalam sel tahanan menjadi antara faktor utama penularan wabak. Dalam kebanyakan sel yang menempatkan sekurang-kurangnya lapan tahanan, sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan dijangkiti kudis buta. Selain masalah kesihatan, para tahanan turut berdepan kekurangan pakaian, selimut, barangan kebersihan dan bekalan makanan yang mencukupi. Kualiti makanan yang rendah serta kuantiti yang terhad dilaporkan menyebabkan ramai tahanan kehilangan berat badan secara ketara.


Laporan itu turut menyebutkan bahawa ramai tahanan terpaksa tidur di atas lantai, berdepan kekurangan pengudaraan dan tidak mendapat akses yang mencukupi kepada cahaya matahari serta kemudahan penjagaan diri. Menurut kenyataan yang sama, penderitaan fizikal yang berpanjangan turut memberi kesan besar kepada kesihatan mental tahanan. Ada dalam kalangan mereka yang menyifatkan kesembuhan daripada penyakit sebagai satu-satunya harapan selepas berbulan-bulan menanggung kesakitan dan keletihan.


Persatuan tersebut turut mendakwa pihak berkuasa penjara rejim Israel sengaja mengabaikan rawatan kesihatan serta mewujudkan keadaan yang menyumbang kepada penularan penyakit dalam kalangan tahanan.


Sehubungan dengan itu, organisasi berkenaan menggesa institusi antarabangsa dan badan hak asasi manusia campur tangan segera bagi memastikan para tahanan Palestin menerima rawatan perubatan yang sewajarnya, memperoleh keperluan asas serta menghentikan pelanggaran berterusan terhadap hak mereka di dalam penjara rejim Israel. Menurut organisasi tersebut, sekurang-kurangnya 89 tahanan Palestin dilaporkan meninggal dunia di penjara rejim Israel sejak perang bermula, berdasarkan kes yang identiti mangsanya telah disahkan secara rasmi.


Sumber: Shehab News, WAFA

Written by
Admin
Published on
June 4, 2026