Merujuk keputusan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS), HAMAS ingin menegaskan perkara-perkara berikut:
Pertama: Pendirian kami terhadap pentadbiran AS yang baru berdasarkan pendirian dan tindakan mereka secara praktikal terhadap rakyat Palestin, hak-hak mereka serta keadilan dalam isu Palestin.
Kedua: Amat dikesalkan bahawa semua pentadbiran AS yang silih berganti sejak Palestin dijajah Zionis pada tahun 1948 mempunyai pendirian negatif terhadap isu Palestin. Mereka secara konsisten menjadi penyokong terbesar penjajahan Zionis dalam pelbagai aspek. Pentadbiran AS sebelumnya bertindak berat sebelah dengan memberikan perlindungan politik dan ketenteraan kepada penjenayah perang Zionis. Malah, AS juga membenarkan mereka meneruskan peperangan yang paling kejam dalam sejarah moden sehingga mengukuhkan peranan mereka sebagai rakan kongsi dalam pembunuhan puluhan ribu anak bangsa kami, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Ketiga: Kami menuntut sokongan membuta tuli terhadap penjajahan Zionis dihentikan, serta usaha sebenar untuk menghentikan perang dan serangan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dilaksanakan. Kami juga menyeru serangan terhadap rakyat Lubnan, serta menuntut sokongan ketenteraan dan perlindungan politik kepada rejim Zionis dihentikan dan mengiktiraf hak-hak sah rakyat kami.
Keempat: Presiden AS yang baru dipilih perlu mendengar suara-suara kebangkitan dalam kalangan masyarakat AS sendiri sejak lebih setahun yang lalu. Mereka menentang penjajahan dan kemusnahan besar-besaran terhadap Gaza, serta menolak sokongan dan kecenderungan kepada rejim Zionis.
Kelima: Pentadbiran AS yang baru harus sedar bahawa rakyat Palestin akan terus berjuang menentang penjajahan Zionis yang zalim dan tidak akan menerima sebarang tindakan yang mengabaikan hak-hak sah mereka untuk kebebasan, kemerdekaan, hak menentukan nasib sendiri, serta penubuhan negara Palestin yang merdeka dan Baitul Maqdis sebagai ibu kota.
Gerakan Pejuang Islam HAMAS
Rabu: 04 Jamadil Awwal 1446H
Bersamaan: 06 November 2024