Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin semalam menggesa orang awam agar segera meninggalkan Tehran susulan ketegangan yang semakin memuncak antara Israel dan Iran. Kenyataan tersebut telah mencetuskan kebimbangan terhadap konflik berskala penuh antara Iran dan Israel.

Dalam satu hantaran lewat malam di platform Truth Social, Trump mengulangi amaran kerasnya mengenai program nuklear Iran:

“Iran sepatutnya menandatangani ‘perjanjian’ yang saya arahkan mereka tandatangani. Sungguh memalukan, dan satu pembaziran nyawa manusia. Ringkasnya, IRAN TIDAK BOLEH MEMILIKI SENJATA NUKLEAR. Saya telah ulang berkali-kali!"

"Semua orang perlu segera tinggalkan Tehran!”

katanya di platform Truth Social miliknya.

Kenyataan Trump dibuat ketika ketegangan semakin memuncak di Timur Tengah dengan Israel melancarkan siri serangan udara dan dron sejak Jumaat ke atas kemudahan tentera dan nuklear di Iran, termasuk di Tehran dan bandar-bandar strategik lain.

Ketegangan meningkat sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara dan dron secara bersepadu ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

Kawasan Metropolitan Greater Tehran yang menempatkan hampir 17 juta penduduk, kini berdepan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan berskala besar. Walaupun Trump tidak memberikan penjelasan lanjut tentang kenyataan pemindahan itu, ia dibuat ketika peningkatan ketara ketenteraan di rantau tersebut.

Beberapa jam sebelum kenyataan Trump, tentera Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan pertama di dalam Tehran. Arahan itu dikeluarkan di kawasan yang melibatkan sekitar 330,000 penduduk termasuk kawasan sekitar stesen TV negara, ibu pejabat polis utama dan tiga hospital — satu tindakan luar biasa dalam sejarah konflik Israel-Iran.

Seorang pegawai Rumah Putih memaklumkan kepada CNN bahawa Trump telah menerima maklumat risikan berterusan sepanjang hari, meskipun ketika menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Kanada. Pegawai itu menjelaskan bahawa seruan Trump adalah usaha tekanan diplomatik untuk memaksa Iran kembali ke meja rundingan.

Trump dilaporkan memendekkan jadual G7 dan pulang awal ke Washington, sambil mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (NSC) bersiap sedia di Bilik Situasi.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, Trump menyatakan masih wujud ruang untuk perjanjian nuklear:

“Saya fikir perjanjian akan ditandatangani. Iran bodoh jika tidak menandatanganinya. Mereka sudah di meja rundingan. Dan sebaik saya pulang, kita akan lakukan sesuatu.”

Trump enggan mengulas sama ada AS akan terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan, namun memuji serangan Israel dan menegaskan bahawa senjata buatan Amerika memainkan peranan utama dalam serangan ke atas Iran.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut mendedahkan bahawa Trump telah memberitahu para pemimpin G7 bahawa AS sedang berusaha secara diam-diam mahu menjadi pengantara gencatan senjata antara Israel dan Iran. Malah, mereka juga bersedia untuk bertemu secara langsung dengan pegawai Iran.

Walaupun Trump sering menggambarkan dirinya sebagai pembawa damai yang mahu mengakhiri perang dan bercita-cita memenangi Hadiah Nobel Keamanan, namun tindakan dan kenyataan terkininya berisiko mencetuskan perang berskala besar. Sesetengah pihak memberi amaran bahawa ia boleh menjadi pencetus kepada Perang Dunia Ketiga.

Sumber: Quds News Network, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
June 17, 2025