Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz pada Rabu mengeluarkan arahan ketenteraan baharu. Dalam satu kenyataan bersama, mereka mengarahkan pasukan tentera Israel untuk menyediakan rancangan operasi baharu dalam tempoh 48 jam bagi menghalang HAMAS daripada menguasai bantuan kemanusiaan di Gaza.


Arahan ini dikeluarkan susulan laporan yang mendapati pemimpin kabilah dan unit pasukan polis HAMAS, Sahm berjaya mengiringi konvoi bantuan sehingga sejumlah kecil trak bantuan selamat tiba ke destinasi. Pasukan tersebut turut berjaya menangkis serangan kumpulan perompak yang disokong oleh tentera Israel. Bantuan tersebut akan diagihkan melalui Program Makanan Sedunia (WFP).


Namun, Israel terus mengeruhkan keadaan di Gaza dengan membiarkan kadar kebuluran terus meningkat, melindungi kumpulan perompak serta membiarkan insiden rompakan bantuan berlaku. Tindakan ini memaksa rakyat Palestin yang kebuluran menuju ke pusat bantuan yang dikawal Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang kini menjadi perangkap maut.


Pusat-pusat bantuan tersebut telah menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai yang berlaku setiap hari sejak lebih sebulan lalu. Kumpulan hak asasi manusia telah memberi amaran bahawa pusat bantuan yang diwujudkan ini digunakan sebagai senjata peperangan.


Antara 27 Mei hingga 25 Jun, tentera Israel dilaporkan telah membunuh 549 rakyat Palestin yang kelaparan dan mencederakan 4066 lagi, termasuk wanita dan kanak-kanak ketika mereka cuba mendapatkan makanan. Seramai 39 individu masih dilaporkan hilang, dipercayai tertimbus di bawah runtuhan atau diculik dalam kekecohan.


Data ini diperoleh daripada Pejabat Media Kerajaan Gaza yang telah mengeluarkan laporan harian terperinci sepanjang 30 hari lalu. Mangsa terdiri daripada orang awam yang tidak bersenjata, kebanyakannya ibu bapa yang berusaha mendapatkan makanan buat keluarga mereka.


Sejak Mac lalu, Israel telah menutup sepenuhnya Gaza daripada sebarang bekalan makanan, air dan ubat-ubatan menyebabkan seluruh penduduk Gaza berada dalam kebuluran.


Pemerhati antarabangsa dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah berulang kali menggesa Israel untuk menamatkan sekatan. Namun sebaliknya kerajaan Israel terus memperkukuh kehadiran ketenteraan mereka di sekitar konvoi bantuan tanpa membuka laluan selamat.

Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
June 26, 2025