Ketika perhatian dunia kini tertumpu kepada konflik antara Israel dan Iran, serangan tentera Israel ke atas semenanjung Gaza terus berleluasa, membunuh puluhan rakyat Palestin dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia parah akibat sekatan berpanjangan selama berminggu-minggu.
Sejurus selepas Israel melancarkan serangan terhadap Iran, tekanan antarabangsa berhubung isu kebuluran dan pembunuhan orang awam di Gaza kelihatan semakin tidak mendapat perhatian.
Namun, dalam tempoh singkat itu (setakat 15 Jun 2025), lebih 140 rakyat Palestin telah syahid dalam serangan udara di seluruh Gaza, termasuk lebih 40 orang yang terbunuh berhampiran pusat agihan bantuan milik Gaza Humanitarian Foundation (GHF) — sebuah organisasi kontroversi yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Pada hari Khamis, tentera Israel mengebom kabel gentian optik terakhir yang menghubungkan Gaza ke dunia luar, menyebabkan gangguan keseluruhan internet dan komunikasi. Israel menghalang kerja pembaikan sehingga Sabtu malam dan talian hanya disambung semula selepas hampir dua hari.
Langkah ini dilihat sebagai cubaan untuk mengasingkan Gaza dan menutup liputan berita mengenai serangan Israel. Wartawan Gaza, Hind Khoudary menulis:
“Mengapa Israel bom litar utama gentian internet? Mengapa Israel berkeras mahu mengasingkan Gaza dari dunia? Kini kami ketiadaan makanan, air, elektrik dan internet.”
Disebabkan Gaza tidak memiliki akses kepada sebarang maklumat melalui internet, penduduk gagal menerima amaran pemindahan segera daripada tentera Israel, mahupun makluman dari GHF yang hanya beroperasi melalui Facebook.
Pada pagi Sabtu, rakyat Gaza yang kebuluran menuju ke pusat agihan GHF. Namun, tentera Israel melepaskan tembakan secara sengaja dan membunuh sekurang-kurangnya 15 orang.
Jurucakap tentera Israel memberi amaran bahawa operasi di Gaza akan diteruskan dengan kekuatan maksimum pada Jumaat dan keesokan harinya amaran pemindahan segera dikeluarkan untuk kawasan Khan Yunis di selatan Gaza.
Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif menulis di X:
“Kebuluran semakin buruk, pengepungan semakin ketat dan mayat bergelimpangan di merata tempat… Gaza kini benar-benar terasing dari dunia.”
Organisasi hak asasi manusia Israel, B’Tselem turut memberi amaran dengan pandangan bahawa Israel berkemungkinan besar akan memanfaatkan perhatian global untuk meningkatkan lagi serangan ke atas rakyat Palestin: “Jangan alihkan perhatian dari Gaza, walaupun Israel melancarkan medan baharu dengan Iran.”
Rakyat Palestin di Gaza yang dibunuh, dibiarkan kebuluran dan dihalau dari kediaman mereka oleh rejim Israel — menyeru masyarakat antarabangsa supaya tidak melupakan Gaza dan segera menghentikan jenayah genosid yang sedang berlaku.
“Sementara dunia menumpukan perhatian kepada serangan Israel ke atas Iran, serangan ke atas Gaza tidak pernah berhenti dan pembunuhan beramai-ramai masih berterusan,”
kata Anas al-Sharif melalui platform X.
“Marilah kita kembali fokus kepada Gaza — krisis kesihatan yang parah, kebuluran yang dahsyat. Ini tanggungjawab kita untuk terus menyuarakan penderitaan Gaza.”
Sumber: Quds News Network