Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Ketika rejim Israel terus memperhebat serangan dan operasi ketenteraan terhadap rakyat Palestin di Gaza serta Tebing Barat, Ketua Rabbi Sephardi Israel, David Yosef tampil dengan kenyataan yang menggesa pemusnahan Gaza secara menyeluruh serta menafikan kewujudan bangsa Palestin.

Menurut laporan media Israel dan rakaman video yang tersebar, Yosef, yang turut pernah mengetuai Mahkamah Rabbinikal Agung Israel, mengeluarkan kenyataan tersebut pada 20 Ogos lalu ketika mengunjungi Muzium Gush Katif di Baitul Maqdis Barat.

Yosef menyeru supaya Gaza dimusnahkan sepenuhnya, dengan mendakwa rumah-rumah ibadat Yahudi yang masih berdiri selepas pendatang haram Israel berundur dari penempatan Gush Katif pada 2005 telah ‘dicemari’. Dia kemudian memaklumkan, atas sebab inilah Gaza perlu dimusnahkan sepenuhnya dan kita perlu kembali ke sana.

Yosef turut memperluas tuntutannya dengan mendakwa bahawa maksud penebusan ialah mengembalikan tanah yang didakwanya sebagai milik Israel kepada orang Yahudi. Dia kemudian menegaskan bahawa “Gaza ialah tanah Israel, Gaza milik kami, Nablus milik kami, Jenin milik kami, semuanya milik kami.”

Dakwaan tersebut bertentangan dengan kedudukan undang-undang antarabangsa yang mengiktiraf Tebing Barat, termasuk Baitul Maqdis Timur serta Gaza sebagai wilayah Palestin yang diduduki dan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Yosef juga menafikan kewujudan rakyat Palestin serta hak mereka. Dia mendakwa bahawa rakyat Palestin bukan sebuah bangsa dan tidak pernah menjadi sebuah bangsa serta tidak mempunyai hak.

Dakwaan tersebut bercanggah dengan pelbagai rekod sejarah yang wujud sebelum penubuhan negara haram Israel pada 1948. Kajian akademik menunjukkan bahawa identiti kolektif Palestin mula berkembang sejak penghujung zaman Uthmaniyyah, khususnya antara 1908 hingga 1914.

Pada Januari 1919, Kongres Arab Palestin Pertama turut diadakan di Baitul Maqdis dengan penyertaan wakil daripada pertubuhan Islam dan Kristian dari pelbagai kawasan Palestin bagi membincangkan masa depan wilayah tersebut.

Banci pertama British di Palestin pada 1922 pula merekodkan jumlah penduduk seramai 757,182 orang. Sekitar 78% daripadanya beragama Islam, 11% Yahudi dan 9.6% Kristian.

Pada 1925, Undang-Undang Kewarganegaraan Palestin mula berkuat kuasa dan secara rasmi mengatur status kewarganegaraan penduduk Palestin, lebih dua dekad sebelum penubuhan negara haram Israel pada 1948.


Sumber: al-Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 27, 2026