Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim haram Israel berdepan krisis tenaga manusia paling buruk dalam sejarahnya, menurut Jeneral Simpanan Israel merangkap penganalisis ketenteraan, Itzhak Brik. Ribuan pegawai dan anggota enggan bertugas atau menolak untuk memperbaharui kontrak, menyebabkan kekurangan ketara tenaga profesional.


Dua tahun perang genosid di Gaza telah mengorbankan 923 anggota, mencederakan 6,399 dan mengakibatkan kira-kira 20,000 askar mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), sementara pihak tentera didakwa menyembunyikan angka korban sebenar di bawah penapisan ketat.


Brik berkata, ramai pegawai meminta pelepasan segera dan rekrut muda enggan menandatangani kontrak jangka panjang sehingga menjejaskan penyelenggaraan peralatan serta operasi sistem tempur.


Dia menyalahkan keputusan lemah ketua-ketua staf terdahulu seperti pemotongan tenaga kerja dan pemendekan tempoh perkhidmatan yang mencipta jurang besar dalam keupayaan ketenteraan mereka. “Jurang ini menolak keluar profesional berpengalaman dan meninggalkan anggota yang tidak bersedia dalam jawatan penting; serta yang tidak mampu menangani cabaran medan perang semasa,” katanya. Sistem maklumat tentera yang lapuk turut menyebabkan maklumat yang tepat tidak dapat diakses.


Menurut Brik lagi, krisis ini boleh membawa kepada kelumpuhan sepenuhnya tentera Israel jika tidak ditangani segera.


Sejak Oktober 2023, rejim haram Israel telah membunuh lebih 70,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam pembantaian di Gaza. Serangan itu telah memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza dan memaksa hampir seluruh penduduknya berpindah.


Sumber: TRT World, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
December 1, 2025