
Jawatankuasa Keselamatan dan Luar Negeri wilayah haram Israel, Knesset telah meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) yang membolehkan warga haram Israel membeli tanah secara langsung di Tebing Barat yang dijajah, langkah yang dianggap sebagai persediaan praktikal untuk merampas sebahagian besar tanah di wilayah Tebing Barat dan mengintegrasikannya ke dalam kedaulatan wilayah haram Israel.
Menurut Pejabat Media Knesset, jawatankuasa yang dipengerusikan Boaz Bismuth meluluskan RUU bertajuk ‘Pembatalan Diskriminasi dalam Pembelian Hartanah di Yudea dan Samaria’, dengan sokongan empat ahli Knesset dan tanpa sebarang bantahan.
RUU ini membatalkan undang-undang Jordan pada tahun 1953 mengenai penyewaan dan penjualan hartanah kepada orang asing yang masih berkuat kuasa di Tebing Barat, yang menghalang individu bukan warga Jordan, Palestin atau orang berketurunan Arab daripada memiliki tanah. Ia juga membatalkan sekatan yang sebelum ini menghalang pendatang haram Yahudi membeli tanah Palestin kecuali melalui syarikat berdaftar di bawah Pentadbiran Awam Kementerian Pertahanan Israel di Tebing Barat, membolehkan pembelian secara langsung tanpa perantara.
Boaz Bismuth berkata, “Undang-undang ini justeru membantu mengukuhkan kedaulatan (wilayah haram). Tiada sebab yang menghalang orang-orang Yahudi untuk membeli tanah di Yudea dan Samaria dan telah menjadi tanggungjawab kami sebagai wakil rakyat untuk menyokong pembangunan penempatan.”
Sebaliknya, kumpulan hak asasi berhaluan kiri Israel, Peace Now menyifatkan RUU ini sebagai langkah aneksasi secara de facto dan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa. Tambahan lagi, kumpulan yang sama menganggarkan sekitar 500,000 penempatan haram Israel kini telah wujud di Tebing Barat yang dijajah.
Perkembangan ini berlaku selepas Knesset pada bulan lalu meluluskan bacaan awal RUU yang lain yang menetapkan kedaulatan wilayah haram Israel ke atas Tebing Barat — langkah yang dianggap sebagai persediaan rasmi untuk merampas Tebing Barat sepenuhnya. Rampasan ini berpotensi menamatkan sebarang kemungkinan pelaksanaan penyelesaian dua negara seperti yang digariskan dalam beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sumber: Shehab News, Anadolu Ajansi