Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Parlimen haram Israel, Knesset pada hari Selasa telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) hukuman mati terhadap tahanan Palestin, sebagai persediaan untuk dibentangkan bagi undian bacaan kedua dan ketiga pada minggu hadapan.


RUU tersebut memperuntukkan hukuman mati ke atas mana-mana individu yang dengan sengaja menyebabkan kematian dalam perbuatan yang diklasifikasikan sebagai ‘tindakan keganasan’. Ia juga menyatakan bahawa tiada pengampunan boleh diberikan dalam kes sedemikian, yang bermaksud hukuman tersebut adalah muktamad dan tidak boleh diringankan atau diubah melalui sebarang keputusan politik atau undang-undang pada masa hadapan. 


Menurut draf tersebut, hukuman itu adalah mandatori dan tidak memerlukan konsensus kehakiman. Pelaksanaan hukuman akan dijalankan oleh Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) melalui hukuman gantung, dan perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh pengesahan.


Dalam pernyataan rasminya, RUU itu menyatakan bahawa tujuannya adalah untuk menetapkan hukuman mati ke atas pelaku yang diklasifikasikan sebagai pengganas, serta menetapkan bahawa sesiapa yang dengan sengaja menyebabkan kematian dengan tujuan mencederakan warga haram Israel atau atas motif menafikan kewujudan negara tersebut akan dihukum mati atau penjara seumur hidup sahaja.


Draf tersebut turut membezakan pelaksanaannya antara wilayah haram Israel dan Tebing Barat. Di Tebing Barat, hukuman mati ditetapkan sebagai hukuman utama.


Selain itu, mahkamah tentera diberikan kuasa luar biasa untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dalam keadaan tertentu dan pada masa sama, Menteri Keselamatan Israel diberi kuasa untuk menentukan dasar badan kehakiman yang bertanggungjawab mengendalikan perbicaraan tertuduh.


Selain itu, RUU tersebut memberi kuasa kepada Perdana Menteri rejim Israel untuk memohon kepada mahkamah bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman mati dalam keadaan tertentu, dengan tempoh penangguhan keseluruhan tidak melebihi 180 hari, walaupun tempoh pelaksanaan asal ditetapkan tidak melebihi 90 hari dari tarikh hukuman dimuktamadkan.


RUU ini dibentangkan oleh ahli Knesset, Limor Son Har-Melech daripada Parti Otzma Yehudit, yang diketuai oleh Itamar Ben Gvir.


Sumber: Shehab News, WAFA Agency

Written by
Admin
Published on
March 25, 2026