Latest News

Stay updated with the latest developments and news

KRISIS BAHARU PALESTIN, 5 BUAH POS KAWALAN ISRAEL DILULUSKAN DI TEBING BARAT

Kabinet Israel telah meluluskan draf yang membenarkan penubuhan lima buah pos kawalan Israel di Tebing Barat pada Khamis. Difahamkan draf tersebut diusulkan oleh Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich.

Selain penubuhan pos kawalan, draf tersebut turut menyatakan sekatan ke atas Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan pemberian tender untuk ribuah unit rumah baharu di penempatan haram Israel di Tebing Barat.Sekatan terhadap PA termasuklah menarik semula permit dan manfaat yang diberikan kepada para pegawai; melaksanakan had pergerakan dan menyekat pegawai tertinggi untuk meninggalkan negara; memansuhkan kuasa eksekutif PA di selatan Tebing Barat; melaksanakan undang-undang terhadap pembinaan yang tidak diluluskan; serta melindungi tapak warisan dan kawasan sekitarnya.

Draf yang diusulkan Smotrich merupakan satu tindak balas terhadap lima buah negara: Sepanyol, Norway, Ireland, Slovenia dan Armenia yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Keputusan Israel mendapat respons daripada HAMAS dalam sebuah kenyataan rasmi: "Segala rancangan Israel untuk mengawal Tebing Barat, menghalau penduduknya dan melemahkan perjuangan mereka akan gagal kerana ia akan bertembung dengan kebangkitan dan penentangan yang semakin meningkat di kawasan bandar, perkampungan dan kem-kem penempatan di Tebing Barat."

Manakala Kementerian Luar Palestin mengecam Israel melalui sebuah kenyataan semalam, "Ini jelas akan menutup peluang untuk mengabsahkan kewujudan negara Palestin."

Jelas kementerian itu lagi, "Ia juga merupakan satu cabaran kepada resolusi-resolusi antarabangsa, terutamanya Resolusi 2334. Israel langsung tidak menghiraukan konsensus antarabangsa yang menolak penjajahan sebagai penghalang kepada penyelesaian dua negara (two-state solution)."

Wasel Abu Youssef daripada Jawatankuasa Eksekutif Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) juga menegaskan penentangannya terhadap keputusan Israel yang dianggap sebagai sebuah pencabulan resolusi-resolusi antarabangsa.

Sumber: The Cradle, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
June 29, 2024