Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Ketua Majlis Desa Qusra, Abdul Azim Wadi berkata penderitaan keluarga yang dikepung di pekan Qusra, selatan Nablus selama 10 hari berturut-turut semakin memburuk susulan pengetatan pengepungan dan sekatan terhadap kemasukan bantuan tiga buah rumah yang dikepung.


Wadi berkata pendatang haram Israel masih berada di sekitar rumah-rumah mereka dan berterusan memberi tekanan kepada penduduk. Tentera rejim turut menyerbu sebuah kilang berhampiran rumah yang dikepung dan mengusir para pekerjanya dengan alasan kawasan itu telah diisytiharkan sebagai zon ketenteraan tertutup.


Beliau memberi amaran bahawa bekalan ubat-ubatan dan makanan yang berjaya dibawa masuk oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) semakin berkurangan, sementara tiada campur tangan kemanusiaan dan hak asasi yang mencukupi bagi memastikan bantuan terus disalurkan kepada keluarga yang dikepung.


Menurutnya, bekalan sedia ada tidak mencukupi dan dijangka habis dalam tempoh dua hari akan datang. Pada masa yang sama, beliau menggesa bantuan segera dihantar kepada keluarga berkenaan yang kini berdepan keadaan kemanusiaan yang amat buruk, khususnya wanita dan kanak-kanak.


Wadi turut mempersoalkan tujuan pengepungan yang berterusan selama 10 hari, sambil berkata tentera rejim Israel sepatutnya menangkap pendatang haram yang berada di kawasan tersebut dan mengusir mereka, bukannya mengepung keluarga Palestin.


Beliau berkata campur tangan daripada organisasi kemanusiaan dan hak asasi masih tidak mencukupi bagi menamatkan pengepungan atau memastikan bantuan dapat disalurkan kepada keluarga terbabit.


Mengenai bekalan air dan elektrik, Wadi berkata bekalan elektrik terputus selama tujuh hari berturut-turut sebelum penduduk berjaya memulihkannya. Bagaimanapun, tentera rejim Israel menghalang juruteknik daripada memasuki kawasan tersebut dan menyerang mereka.


Pada hari kelapan, sebuah pasukan teknikal cuba memasuki kawasan berkenaan bagi membaiki rangkaian bekalan air, namun mereka diserang oleh pendatang haram Israel. Wadi berkata tentera rejim Israel berada di lokasi kejadian tetapi tidak mengambil tindakan bagi menghalang serangan tersebut.


Sumber: PALM Strategic Initiatives Centre

Written by
Admin
Published on
August 19, 2026