
Hanya lima pesakit yang memerlukan rawatan perubatan dibenarkan keluar dari Gaza sementara hanya 12 rakyat Palestin dibenarkan pulang ke wilayah yang dilanda perang itu. Keadaan ini berlaku susulan kelewatan dan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa rejim Israel, meskipun pintu sempadan Rafah dengan Mesir akhirnya dibuka semula.
Media Israel melaporkan bahawa kira-kira 50 rakyat Palestin dijangka memasuki Gaza, sementara sekitar 150 pesakit bersama pengiring mereka dijadualkan keluar dari wilayah tersebut untuk mendapatkan rawatan perubatan di Mesir. Pun begitu, hanya lima pesakit yang dibenarkan keluar dan 12 orang yang dibenarkan masuk ke Gaza pada Isnin semalam. Angka yang jauh lebih rendah berbanding pemakluman yang dinyatakan sebelum ini.
Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, yang melaporkan dari bandar Gaza pada awal Selasa menyatakan bahawa pembukaan semula sempadan tersebut mengambil masa yang terlalu lama, namun hasilnya amat mengecewakan dan tidak menepati janji.
“Perkara ini berlaku selepas penantian yang panjang. Mereka sepatutnya memasuki Gaza sejak beberapa jam lalu, namun ditahan untuk tempoh yang lama dan sebahagiannya disebabkan oleh proses tapisan keselamatan yang rumit yang ditetapkan oleh tentera rejim Israel di sempadan Rafah,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, keluarga di Gaza menjangkakan kira-kira 50 rakyat Palestin akan pulang dari Mesir pada hari tersebut. Bagaimanapun, hanya sebuah bas yang membawa 12 orang tiba pada awal Selasa, iaitu kumpulan pertama yang dibenarkan pulang ke tanah air mereka melalui pintu sempadan Rafah selepas lebih 18 bulan.
Pembukaan semula sempadan tersebut di selatan Gaza yang sekian lama dinantikan pada Isnin sepatutnya menjadi langkah awal bagi meredakan kepungan ketenteraan yang telah membebani Gaza selama lebih 18 bulan. Namun sebaliknya, pihak berkuasa rejim terus mengenakan kawalan keselamatan yang ketat serta prosedur birokrasi yang rumit, menyebabkan hanya sebilangan kecil individu dibenarkan bergerak keluar atau masuk ke Gaza, selain menyekat kemasukan barangan secara bebas melalui pintu sempadan tersebut.
Rejim Israel juga menetapkan syarat bahawa individu yang meninggalkan Gaza semasa tempoh perang sahaja dibenarkan masuk kembali melalui Rafah. Hal ini juga tertakluk pada proses tapisan keselamatan yang ketat.
Walaupun hanya lima pesakit warga Palestin dibenarkan keluar pada Isnin lalu, namun dianggarkan hampir 20,000 kanak-kanak dan orang dewasa yang amat memerlukan rawatan perubatan masih menunggu kebenaran untuk keluar dari Gaza ke Mesir atau negara lain, menurut pegawai kesihatan Gaza.
Pintu sempadan tersebut sepatutnya dibuka semula pada Oktober lepas di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata, namun rejim Israel enggan berbuat demikian sehingga menerima baki tawanan terakhirnya di Gaza, yang hanya berlaku pada minggu lalu.
Sumber: Al Jazeera, Anadolu Ajansi