Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich menggalakkan Israel untuk menjajah Gaza dan mengurangkan populasi rakyat Palestin di Gaza dalam tempoh dua tahun. Smotrich yang berucap di dalam sebuah persidangan anjuran Yesha Council pada Isnin memberitahu bahawa tidak mustahil untuk mengurangkan populasi Gaza kepada separuh dalam tempoh dua tahun.
"Usaha itu tidak menelan perbelanjaan yang tinggi. Jika ya, kami tidak teragak-agak untuk membayarnya."
Smotrich menambah lagi:
"Itu sahaja caranya. Kita boleh laksanakannya dalam tempoh tersebut melalui strategi penghijrahan secara rela."
Ini bukan kali pertama Smotrich menyeru kepada penaklukan Gaza. Terbaharu adalah pada 18 November 2024 — Smotrich menggesa penjajahan menyeluruh di utara Gaza dengan tujuan mendesak HAMAS membebaskan tawanan Israel selepas pihak ketenteraan Israel gagal bertindak demikian. Smotrich dan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir berkongsi pendapat yang sama bahawa penjajahan Gaza perlu dilaksanakan dengan cara penghijrahan secara rela walaupun ia adalah eufemisme, ia tetap satu jenayah perang.
"Menduduki Gaza bukanlah perkataan yang cela. Jika kos kawalan keselamatan Israel bernilai $1.37 bilion, saya terima dengan hati terbuka demi melaksanakannya."
Sumber: The Times of Israel