
Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, termasuk ketua balai polis Jabalia, syahid selepas rejim Israel melancarkan serangan udara ke atas sebuah balai polis di utara semenanjung Gaza pada Isnin.
Kementerian Dalam Negeri Gaza menyifatkan serangan itu sebagai satu pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan, dengan mangsa terdiri daripada anggota polis dan seorang orang awam.
Menurut kementerian itu, mangsa yang terkorban termasuk Ketua Balai Polis Jabalia, Mohammed Marwan Salem bersama beberapa anggota polis yang sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan awam dan mengurus hal ehwal masyarakat.
Kementerian tersebut mengecam serangan berkenaan sebagai satu jenayah yang menyasarkan institusi awam serta anggota polis yang bertanggungjawab melindungi keselamatan penduduk dan memastikan kelangsungan perkhidmatan asas di tengah-tengah perang yang berterusan. Sementara itu, tentera rejim Israel mendakwa serangan tersebut menyasarkan individu yang disifatkannya sebagai anggota gerakan pejuang Palestin yang didakwa merancang serangan terhadap tentera rejimnya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Gaza menegaskan bahawa anggota polis yang menjadi sasaran hanyalah menjalankan tugas penguatkuasaan awam dan tidak terlibat dalam operasi ketenteraan.
Serangan itu berlaku ketika rejim Israel terus meningkatkan serangan di seluruh semenanjung Gaza meskipun rundingan mengenai gencatan senjata masih diteruskan. Dalam beberapa serangan lain pada hari yang sama, beberapa lagi rakyat Palestin dilaporkan syahid dan cedera di kawasan Rafah, bandar Gaza dan Khan Yunis.
Sumber: al-Jazeera