Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran bahawa kumpulan pendatang haram Israel berkemungkinan dimasukkan ke dalam senarai hitam global berhubung pelanggaran hak kanak-kanak sekiranya peningkatan mendadak pelanggaran terhadap kanak-kanak Palestin berterusan.


Amaran itu terkandung dalam laporan tahunan PBB bertajuk Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata (Children and Armed Conflict, CAAC) yang menghimpunkan data dan maklumat berkaitan konflik bersenjata sepanjang tahun 2025. Laporan setebal 47 muka surat itu merekodkan sebanyak 38,558 pelanggaran serius terhadap hak kanak-kanak di seluruh dunia sepanjang tahun lalu, melibatkan seramai 24,174 kanak-kanak, sekali gus menjadi angka tertinggi sejak mandat CAAC diperkenalkan pada tahun 1996.


Wilayah Palestin yang diduduki dan Israel merekodkan jumlah pelanggaran tertinggi dengan 12,445 kes, diikuti Republik Demokratik Congo (4,114), Nigeria (2,560), Myanmar (2,203) dan Somalia (2,195).


Laporan itu menyatakan sebanyak 12,445 pelanggaran serius terhadap kanak-kanak telah disahkan, termasuk 12,436 kes di wilayah Palestin yang diduduki dan sembilan kes di wilayah haram Israel. Daripada jumlah tersebut, 5,452 kes direkodkan di Tebing Barat, termasuk Baitul Maqdis Timur, manakala 6,984 kes direkodkan di Gaza.


Laporan berkenaan turut mengaitkan 9,465 pelanggaran serius terhadap hak kanak-kanak dengan tentera dan pasukan keselamatan rejim Israel, manakala 326 pelanggaran lain dikaitkan dengan pendatang haram Yahudi yang cuba merampas tanah milik rakyat Palestin. PBB turut menerima laporan mengenai kematian 4,588 kanak-kanak di semenanjung Gaza dan 346 kanak-kanak yang mengalami kecederaan, namun proses pengesahan masih dijalankan.


Bagaimanapun, laporan itu menegaskan bahawa maklumat yang dikumpulkan berkemungkinan tidak menggambarkan skala sebenar pelanggaran yang berlaku berikutan kesukaran akses dan intensiti konflik yang berterusan, khususnya di Gaza.


Menurut laporan itu, sebanyak 981 kanak-kanak Palestin ditahan oleh tentera rejim Israel sepanjang tahun 2025, terdiri daripada 973 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.


Laporan itu turut menyatakan bahawa seorang kanak-kanak Palestin meninggal dunia ketika dalam tahanan, selain mengesahkan bahawa tiga kanak-kanak digunakan sebagai perisai manusia di Gaza dan Tebing Barat.


Selain itu, seramai 2,223 kanak-kanak di Gaza dan 2,921 kanak-kanak di Tebing Barat, termasuk Baitul Maqdis Timur, dilaporkan mengalami kecederaan akibat tindakan tentera rejim Israel dan kumpulan pendatang haram Yahudi yang cuba merampas tanah rakyat Palestin.


Mengulas laporan tersebut, Guterres berkata beliau amat terkejut dengan skala pelanggaran serius yang berlaku terhadap kanak-kanak di wilayah Palestin yang diduduki, khususnya penggunaan meluas senjata letupan di kawasan berpenduduk padat.


Sementara itu, rejim Israel sebelum ini telah pun disenaraikan dalam lampiran yang dikenali sebagai “senarai memalukan” (list of shame) atas dakwaan pelanggaran terhadap hak kanak-kanak. Walaupun penyenaraian tersebut tidak membawa kepada sekatan automatik, ia boleh menjejaskan reputasi pihak yang terlibat dan memerlukan pelaksanaan pelan tindakan tertentu bagi membolehkan nama mereka dikeluarkan daripada senarai berkenaan.


Sumber: Anadolu Ajansi, Reuters

Written by
Admin
Published on
June 18, 2026