
Pentadbiran Wakaf Islam di Baitul Maqdis memaklumkan bahawa seramai 3,228 pendatang haram Israel telah menceroboh Masjid al-Aqsa pada sesi pencerobohan pagi semalam sempena sambutan yang didakwa sebagai hari memperingati kemusnahan Kuil Sulaiman, di bawah kawalan ketat tentera rejim Israel.
Menurut kenyataan Gabenor Baitul Maqdis, Menteri Keselamatan Negara haram Israel, Itamar Ben Gvir turut menyertai pencerobohan itu bersama dua ahli Knesset lain. Ben Gvir juga dilaporkan mengibarkan bendera negara haram Israel di dalam kawasan masjid, satu tindakan provokatif yang disifatkan melanggar status sejarah dan perundangan Masjid al-Aqsa.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa polis rejim Israel meningkatkan jumlah pendatang haram Yahudi dalam setiap kumpulan pencerobohan kepada kira-kira 150 orang, selain terus mengenakan sekatan ketat di semua pintu masuk Masjid al-Aqsa dan sekitar Kota Lama Baitul Maqdis.
Pasukan rejim Israel juga dikerahkan secara besar-besaran di seluruh pekarangan masjid bagi menghalang umat Islam daripada memasuki kawasan tersebut. Hanya sebilangan kecil jemaah dibenarkan menunaikan solat Subuh sebelum sebahagian daripada mereka dilaporkan dipukul dan diserang oleh anggota rejim Israel.
Sepanjang pencerobohan itu, puluhan pendatang haram turut melakukan ritual yang dikenali sebagai epic prostration (sujud epik) di hadapan Kubah as-Sakhrah dari arah barat, selain melaungkan nyanyian keagamaan dengan suara lantang.
Dalam masa sama, kumpulan pelampau yang dikenali sebagai Temple Groups’dilaporkan sedang menggerakkan penyokong mereka dengan sasaran membawa masuk 5,000 pendatang haram ke Masjid al-Aqsa.
Dalam satu lagi tindakan yang disifatkan belum pernah berlaku sejak pendudukan Baitul Maqdis Timur pada 1967, polis rejim Israel turut memasang sebuah kanopi khas di dalam pekarangan Masjid al-Aqsa bagi memberi kemudahan kepada pendatang haram sepanjang pencerobohan mereka.
Sumber: PALM Strategic Initiative Center