
Iran pada Ahad menyatakan bahawa sebanyak 942 buah sekolah telah rosak akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di seluruh negara sejak 28 Februari, lapor Anadolu.
Jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani berkata dalam satu sidang media bahawa bangunan yang rosak itu memerlukan antara dua hingga tiga bulan untuk dibina semula.
Serangan AS-Israel itu juga memusnahkan 125,640 unit awam, termasuk 100,000 rumah, 20,500 kedai dan 339 pusat kesihatan, tambahnya.Mohajerani menjelaskan bahawa pembinaan semula unit awam yang rosak dijangka mengambil masa antara tiga hingga 24 bulan.
Beliau turut menyatakan bahawa rakyat yang rumah mereka rosak akibat serangan boleh memanfaatkan kemudahan pinjaman perumahan untuk membina semula kediaman mereka.
Lebih 3,000 orang telah terbunuh dalam serangan udara AS-Israel ke atas Iran sejak 28 Februari. Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel, Iraq, Jordan dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS sebelum gencatan senjata selama dua minggu diumumkan awal minggu ini.
Delegasi Iran dan AS menamatkan rundingan selama 21 jam di Islamabad, Pakistan, awal Ahad tanpa mencapai sebarang persetujuan.
Sumber: Middle East Monitor