
Menurut Pejabat Media Tahanan HAMAS pada Selasa, rejim haram Israel telah membebaskan lima tahanan Palestin dari semenanjung Gaza selepas berbulan-bulan ditahan.
Pejabat itu memaklumkan bahawa para tahanan yang dibebaskan telah dipindahkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ke Hospital Syuhada al-Aqsa di Gaza Tengah untuk menjalani pemeriksaan perubatan. Tahanan Palestin yang pernah dibebaskan sebelum ini melaporkan berlaku penderaan, penyeksaan dan kekurangan zat makanan di dalam fasiliti tahanan Israel.
Pada bulan Oktober, Israel membebaskan hampir 2,000 tahanan, termasuk 1,700 dari Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan HAMAS. Kebanyakan mereka yang dibebaskan ketika itu berada dalam keadaan kesihatan yang sangat lemah, dan ramai menceritakan pengalaman diseksa, dibiarkan kelaparan serta dihina di dalam penjara Israel.
Lebih 10,000 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak masih dipenjarakan di Israel, di mana mereka berdepan pengabaian perubatan dan menyebabkan ramai tahanan meninggal dunia, menurut organisasi hak asasi manusia Palestin dan Israel.
Sumber: Anadolu Ajansi, Middle East Monitor