Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rundingan langsung antara Lubnan dan kerajaan haram Israel memasuki pusingan ketujuh di Rom pada 4 hingga 6 Ogos dengan fokus utama diberikan kepada pelaksanaan pengunduran tentera haram Israel dari selatan Lubnan, di sebalik ketegangan yang masih berterusan di sempadan.


Rundingan itu diadakan selepas pelaksanaan ujian pertama perjanjian rangka yang menyaksikan tentera rejim Israel berundur secara berperingkat dari kawasan pinggir Zawtar al-Gharbiya sebelum tentera Lubnan mengambil alih kawalan di kawasan tersebut.


Kerajaan Lubnan memaklumkan akan terus mendesak supaya rejim Israel melaksanakan pengunduran secara berperingkat sehingga semua wilayah Lubnan yang diduduki dikosongkan.


Menurut kenyataan yang dipetik Menteri Penerangan Lubnan; Paul Morcos, Perdana Menteri Lubnan; Nawaf Salam menegaskan matlamat Beirut adalah memastikan pengunduran penuh tentera rejim Israel daripada wilayah negara itu.


Bagaimanapun, isu paling sensitif kekal berkisar kepada mekanisme pengesahan pematuhan perjanjian. Lubnan menolak sebarang peranan rejim Israel dalam menilai prestasi tenteranya dan mencadangkan pemantauan dilakukan oleh pihak ketiga seperti Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) atau badan antarabangsa lain.


Rejim Israel pula menegaskan tenteranya akan terus berada di selatan Lubnan selagi Hizbullah masih bersenjata, sambil menyifatkan kawasan yang dikuasainya berhampiran sempadan sebagai ‘zon penampan’ keselamatan.


Walaupun Hizbullah tidak menyertai rundingan tersebut, isu pelucutan senjata kumpulan itu terus menjadi antara perkara utama dalam perbincangan.


Hizbullah menolak sebarang usaha melucutkan senjatanya serta menentang rundingan langsung dengan rejim Israel. Rejim tersebut turut menuduh kerajaan Lubnan memberikan legitimasi kepada pendudukan haram Israel melalui perjanjian rangka yang dipersetujui sebelum ini.


Sebaliknya, Presiden Lubnan, Joseph Aoun menegaskan bahawa tiada senjata yang mempunyai legitimasi selain di bawah kuasa negara.


Rundingan turut berlangsung ketika tentera rejim Israel meneruskan operasi ketenteraan di selatan Lubnan, termasuk letupan dan serangan di beberapa kawasan seperti Deir Siryan, Taybeh, Hadatha dan Beit Yahoun.


Dalam operasi berhampiran Kubu Shqif baru-baru ini, Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Israel Katz berkata tentera rejim Israel menggunakan kira-kira 700 tan bahan letupan untuk memusnahkan rangkaian terowong di kawasan itu.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa operasi tersebut berpotensi menyebabkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur awam, tapak warisan dan memori kolektif penduduk tempatan.


Pemerhati menjangkakan kejayaan rundingan kali ini hanya dapat dibuktikan sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai pengunduran baharu tentera Israel, menetapkan jadual pelaksanaan yang jelas serta melantik badan bebas bagi memantau pelaksanaan perjanjian. Jika tidak, pengunduran terhad di Zawtar al-Gharbiya berkemungkinan kekal sebagai langkah terpencil tanpa membawa kepada pengunduran penuh Israel dari selatan Lubnan.


Sumber: al-Jazeera

Written by
Admin
Published on
August 4, 2026