Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Mahkamah Agung Israel telah menangguhkan satu perbicaraan yang berlangsung hampir 10 jam pada Rabu semalam berhubung petisyen yang menuntut pemecatan Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir atas dakwaan campur tangan tidak sah dalam urusan polis.Akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa mahkamah akan mengeluarkan keputusan pada tarikh lain.

Menurut laporan itu, para hakim mencadangkan usaha untuk mencapai persefahaman awal antara Itamar Ben-Gvir dan Peguam Negara, Gali Baharav-Miara mengenai had penglibatan menteri dalam aktiviti polis.Bagaimanapun, wakil kerajaan menerima cadangan tersebut, namun Baharav-Miara menolak sebarang kompromi kecuali pihak mahkamah terlebih dahulu mengeluarkan perintah sementara yang mengehadkan campur tangan Ben-Gvir dalam kerja polis.

Perbicaraan yang disiarkan secara langsung melalui laman sesawang mahkamah itu dengan pantas menjadi tidak terkawal.Buat pertama kali, para hakim melarang kemasukan orang awam ke dalam bilik mahkamah dan hanya membenarkan kehadiran pihak petisyen, peguam, menteri serta ahli Knesset.

Ketika Presiden Mahkamah Agung Israel, Isaac Amit memasuki bilik mahkamah, Timbalan Menteri, Almog Cohen menjerit: “Kamu ketua korupsi! Kamu ada konflik kepentingan!” Almog Cohen kemudian segera dikeluarkan dari bilik mahkamah.

Menurut Saluran 12, Amit kemudian memberi amaran bahawa sesi akan diteruskan tanpa gangguan dan sesiapa yang mengganggu ketenteraman akan diusir.

Mahkamah kemudian mengusir lima ahli parlimen daripada gabungan kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu selepas mereka mencemuh para hakim dan berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan pemecatan Itamar Ben-Gvir.Sementara itu, di luar mahkamah, puluhan penyokong Ben-Gvir berhimpun sambil membawa placard bertulis “Cukuplah Mahkamah Agung” dan “Hentikan diktator kehakiman”.

Itamar Ben-Gvir yang telah berkhidmat sebagai Menteri Keselamatan Nasional sejak Disember 2022 turut berucap kepada penyokongnya di luar sesi perbicaraan dengan nada tegas. “Peguam negara mengatakan saya yang menentukan dasar, mengubah keputusan polis dan campur tangan dalam pelantikan bagi melaksanakan dasar saya. Ya, dia betul,” katanya sambil menerima tepukan, ketika bercakap kepada wartawan di luar mahkamah di Baitul Maqdis.

Dalam amaran langsung kepada para hakim, dia menambah: “Jangan bawa Israel ke dalam krisis perlembagaan, perpecahan dan polarisasi. ‘Diktator undang-undang’ akan tumbang.”

Menteri Kehakiman, Yariv Levin daripada Parti Likud yang dipimpin Netanyahu berkata bahawa sebarang keputusan mahkamah untuk memecat Ben-Gvir tidak akan dilaksanakan.

Pada Ahad lepas, Netanyahu memberitahu mahkamah bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk memecat seorang menteri berdasarkan tingkah laku atau keputusan pentadbiran. “Kuasa untuk memecat mana-mana menteri terletak sepenuhnya pada keputusan perdana menteri,” katanya.Pada Januari, Baharav-Miara meminta mahkamah mengarahkan Netanyahu memecat Ben-Gvir, dengan alasan bahawa dia telah menyalahgunakan jawatannya untuk mempengaruhi operasi polis, khususnya dalam siasatan sensitif dan kes penguatkuasaan undang-undang.

Menurut akhbar Haaretz, Ben-Gvir telah menyemai ideologi jenayah ke atas pihak polis dengan menyasarkan penentang kerajaan, melemahkan institusi penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan tekanan terhadap rakyat Arab serta memberhentikan pegawai polis sejak memegang jawatannya.


Sumber: Anadolu Ajansi, The Times of Israel

Written by
Admin
Published on
April 16, 2026