Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Mahmud Abbas, Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), akhirnya menamakan pengganti selepas bertahun-tahun menangguhkan pilihan raya presiden di Tebing Barat.

Mahmud Abbas mengeluarkan perisytiharan perlembagaan yang menetapkan sekiranya jawatan Presiden PA menjadi kosong, Pengerusi Majlis Nasional Palestin (PNC) akan berkhidmat secara interim sebagai Presiden PA sehingga pilihan raya presiden diadakan mengikut Undang-Undang Pilihan Raya Palestin.

Artikel I perisytiharan itu menetapkan bahawa,

"Sekiranya jawatan Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA) menjadi kosong dalam keadaan Majlis Perundangan tidak berfungsi, Pengerusi Majlis Nasional Palestin akan menjalankan fungsi Presiden PA interim selama tempoh tidak melebihi 90 hari. Dalam tempoh ini, pilihan raya bebas dan langsung akan diadakan untuk memilih presiden baharu mengikut Undang-Undang Pilihan Raya Palestin. Jika pilihan raya tidak dapat diadakan dalam tempoh tersebut disebabkan oleh keadaan luar biasa, tempoh ini boleh dilanjutkan oleh keputusan Majlis Pusat Palestin hanya sekali untuk tempoh tambahan."

Rawhi Fattouh adalah Pengerusi PNC semasa, badan legislatif dan pembuat keputusan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), yang mewakili rakyat Palestin di seluruh dunia.

Beliau pernah berkhidmat sebagai presiden interim Palestin pada tahun 2004 selepas kematian Yasser Arafat sehingga Mahmud Abbas dipilih pada Januari 2005. Beliau juga pernah menjadi speaker Majlis Perundangan Palestin (PLC), yang bertindak sebagai parlimen.

Pemilihan yang dibuat Mahmud Abbas ini mencetuskan kontroversi kerana Fattouh pernah terlibat dalam skandal rasuah pada tahun 2008 apabila beliau ditangkap di lintasan Allenby antara Jordan dan Israel dengan 3,000 telefon bimbit di dalam keretanya.

Fattouh didakwa menyeludup telefon bimbit tersebut, yang bernilai ratusan ribu dolar, menurut laporan The Jerusalem Post, dan menggunakan pas VIP yang dikeluarkan Israel untuk memudahkan perjalanan melintasi sempadan dengan telefon tersebut.Fattouh menafikan tuduhan itu pada waktu kejadian, menyalahkan pemandunya kerana cuba menyeludup telefon tersebut.

Mahmud Abbas dilihat sebagai tokoh yang tidak digemari dalam kalangan rakyat Palestin. Kenaikannya sebagai presiden turut menyaksikan peningkatan penindasan terhadap kebebasan individu di Tebing Barat.Selama bertahun-tahun, ratusan penentang, termasuk pelajar telah ditahan oleh pasukan keselamatan PA. Salah satu isu utama yang menimbulkan kritikan terhadap Abbas adalah kerjasama keselamatan PA dengan Israel.

Di bawah pentadbiran Abbas, PA telah berkoordinasi dan berkongsi maklumat risikan dengan Israel mengenai rakyat Palestin yang disyaki merancang operasi terhadap penjajahan Israel.

Abbas dan PA turut dikritik kerana rasuah yang berleluasa serta kegagalan mereka membendung pencerobohan yang semakin meningkat oleh warga haram Israel terhadap tanah Palestin di Tebing Barat. Penempatan Israel dianggap haram menurut undang-undang antarabangsa.

Sumber: Middle East Eye, Wafa Agency

Written by
Admin
Published on
November 28, 2024