Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk mengadakan undian terhadap permohonan Palestin sebagai ahli PBB pada Khamis (esok).
Sebagai rekod, permohonan sebagai ahli PBB telah dikemukakan Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada tahun 2011. Namun sehingga ke hari ini Palestin hanya berstatus “negara pemerhati bukan ahli” susulan berkali-kali permohonan itu ditentang Amerika Syarikat (AS).
Selain Algeria, blok serantau kumpulan Arab mengeluarkan kenyataan sokongan penuh terhadap permohonan Palestin sebagai ahli PBB. Sekiranya PBB menyambut baik keahlian Palestin, secara tidak langsung wilayah itu diiktiraf sebagai sebuah negara. Tidak cukup dengan itu, ia juga menjadi titik tolak kepada penyelesaian yang berkekalan terhadap isu Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi PBB yang berkaitan.
Berdasarkan kenyataan dari pihak Palestin, mereka sudah berjaya mendapatkan 137 sokongan daripada 193 ahli PBB yang mengesahkan Palestin sebagai sebuah negara. Namun, keputusan keahlian PBB untuk Palestin bergantung kuasa veto ahli tetap Majlis Keselamatan, terutamanya AS sebagai rakan sekutu Israel.
Sumber: al-Monitor, Today Online