Majoriti rakyat United Kingdom (UK) yang menentang perang Israel ke atas Gaza percaya bahawa serangan ganas yang menyebabkan lebih 55,000 orang maut di sana, setara dengan genosid.
Kajian yang dijalankan oleh YouGov dan ditugaskan oleh badan kebajikan Action for Humanity serta kumpulan advokasi, International Centre of Justice for Palestinians (ICJP) itu mendapati 2,010 responden telah terlibat di dalam tinjauan ini.
Hasilnya, 55 peratus rakyat Britain menentang pencerobohan Israel. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 82 peratus percaya bahawa tindakan Israel merupakan satu bentuk genosid.
"Ini bermakna 45 peratus rakyat dewasa di UK menganggap tindakan Israel sebagai genosid," kata Action for Humanity dan ICJP dalam kenyataan bersama.
Sebanyak 65 peratus pula menyatakan bahawa UK perlu menguatkuasakan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekiranya beliau melawat UK.
“Jelas sekali majoriti rakyat di negara ini muak dengan tindakan Israel dan semakin ramai yang bersetuju bahawa ini adalah satu genosid yang nyata,”
kata Othman Moqbel, ketua Action for Humanity.
Tambahnya, hampir semua pihak berpendapat bahawa UK harus melakukan segala yang termampu untuk menghentikan tindakan Israel dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Kegagalan kerajaan UK untuk mengiktiraf skala jenayah yang sedang dilakukan di Gaza bukan sahaja meletakkan mereka di pihak yang salah dalam sejarah – tetapi juga di pihak yang salah pada ketika ini.”
Puluhan ribu rakyat Britain telah turun ke jalan raya sepanjang 20 bulan yang lalu untuk membantah perang Israel ke atas Gaza.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri UK, Keir Starmer baru-baru ini mula mengeluarkan kenyataan yang lebih tegas terhadap Israel, termasuk menyenarai hitam beberapa pegawai tertinggi. Pada tahun 2024, UK telah menggantung 30 lesen eksport senjata ke Israel kerana bimbang akan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh negara itu.
Namun, para pengkritik menganggap tindakan UK masih lembap dan lemah, sambil menggesa sekatan yang lebih keras dan langkah-langkah tegas termasuk menghentikan eksport komponen pesawat F-35 yang dibuat di Britain ke Israel.
Tinjauan itu turut mendedahkan pendirian pengundi Parti Buruh dalam pilihan raya umum 2024:
Sumber: Al Jazeera