Kementerian Luar Malaysia, juga dikenali sebagai Wisma Putra, telah mengkritik tindakan rejim Zionis Israel yang bertindak menahan kru Freedom Flotilla semalam.Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, Wisma Putra menegaskan:“
Tindakan memintas dan mengganggu kru flotila tersebut jelas menunjukkan tindakan yang disengajakan dan kejam bagi menghalang bantuan kemanusiaan yang akan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang paling terjejas, termasuk kanak-kanak, wanita, dan warga emas.
“Sekatan ke atas Gaza merupakan satu bentuk kezaliman yang keji dan tidak dapat diterima oleh nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Malaysia menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri dan wajar bersatu menentang tindakan yang melanggar prinsip keadilan, maruah, dan hak asasi manusia ini.”
Pada masa yang sama, Wisma Putra menyatakan bahawa misi itu bertujuan untuk membuka laluan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza. Sehingga ke hari ini, mereka terus berdepan kebuluran akibat sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel.
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk segera mendesak rejim Israel menghentikan sekatan kejam dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sebarang halangan.
Sumber: Bernama, MalaysiaKini