Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, berkata pada Isnin bahawa Malaysia telah menyediakan draf resolusi bagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA). Antara cadangannya agar Israel disingkirkan daripada anggota badan dunia tersebut sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, peraturan, dan keputusan berkaitan isu Palestin.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa draf resolusi tersebut dalam proses rundingan dan dijangka akan dibentangkan di UNGA untuk diluluskan dalam masa terdekat.
Menurut hantarannya di akaun rasmi X, "Tindakan tegas termasuk penyingkiran Israel daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah genosid Israel perlu ditegakkan sesegera mungkin."
"Malaysia akan memastikan agenda tersebut didengari dan diberi perhatian agar kekejaman rejim Israel dapat dihentikan, selain memungkinkan bantuan kritikal sampai kepada rakyat Palestin di saat pembantaian yang terus memburuk."
Sumber: Akaun X Anwar Ibrahim, Anadolu Agency, The Malaysia Reserve