
Arab Barghouti, anak kepada pemimpin Fatah yang ditahan, Marwan Barghouti mendedahkan bahawa bapanya ditembak dari jarak dekat menggunakan peluru getah oleh seorang pengawal penjara rejim Israel, menyebabkan beliau mengalami pendarahan pada kaki tanpa menerima sebarang rawatan perubatan. Dakwaan itu disampaikan selepas keluarganya dimaklumkan oleh peguam Barghouti mengenai kejadian tersebut.
Menurut Arab, kejadian tersebut berlaku di Penjara Ganot di Gurun Naqab (Negev) pada minggu lalu. Beliau berkata, bapanya ditembak ketika berada di dalam penjara dan sehingga kini masih belum diberikan rawatan walaupun mengalami kecederaan serta kesakitan yang teruk.
Isteri Marwan, Fadwa Barghouti menyifatkan insiden itu sebagai satu lagi episod keganasan berterusan terhadap suaminya di dalam penjara rejim Israel. Beliau berkata seorang pengawal penjara melepaskan tembakan peluru getah ke arah kaki Marwan sehingga menyebabkan beliau berdarah dan mengalami kecederaan yang menyakitkan.
Peguam Marwan, Avigdor Feldman, turut mengesahkan bahawa anak guamnya mengadu ditembak pada bahagian kaki ketika lawatan guaman terakhir. Aduan tersebut kemudiannya dikemukakan secara rasmi kepada Perkhidmatan Penjara rejim Israel (IPS).
Bagaimanapun, IPS menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa tiada kejadian sedemikian berlaku.
Marwan Barghouti, 67, merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam gerakan Fatah dan telah dipenjarakan oleh rejim Israel sejak tahun 2002. Beliau kekal menjadi simbol perjuangan rakyat Palestin, dengan ramai yang menggelarnya sebagai Nelson Mandela Palestin.
Insiden terbaharu ini menambah kebimbangan terhadap keselamatan Marwan selepas beberapa laporan sebelum ini mendakwa beliau berulang kali menjadi mangsa penderaan fizikal ketika berada dalam tahanan rejim Israel.
Sumber: The Palestine Chronicle