Satu siasatan oleh Saluran 13 Israel mendedahkan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa sekutu sayap kanannya telah menggagalkan rundingan gencatan senjata di Gaza. Pendedahan itu bercanggah dengan naratif pentadbiran Joe Biden yang sebelum ini menuding jari kepada HAMAS atas kegagalan mencapai persetujuan.
Laporan itu mendedahkan bahawa Netanyahu, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich telah menghalang perjanjian pertukaran tahanan dengan HAMAS sekurang-kurangnya lima kali.
Bekas jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller, mengesahkan dapatan tersebut. Menurutnya, Washington sedar Israel sedang menggagalkan usaha gencatan senjata tetapi memilih untuk berdiam diri. Beliau menjelaskan syarat rundingan sering berubah secara mendadak, malah ada kalanya ketika utusan AS sudah menaiki pesawat.
Siasatan itu mendapati Netanyahu berulang kali menetapkan syarat baharu setiap kali rundingan hampir mencapai persetujuan. Kerajaannya menolak terma gencatan senjata dan berulang kali menetapkan semula perbincangan. Tindakan tersebut, menurut laporan siasatan, bukan sahaja menafikan peluang pembebasan awal tahanan Israel, malah turut melanjutkan siri pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Laporan Saluran 13 tersebut turut menekankan peranan Washington. Miller mendedahkan pegawai AS menyedari Israel sengaja menambah halangan dalam rundingan, namun pentadbiran Biden memilih untuk tidak berdepan dengan Netanyahu kerana khuatir kritikan terbuka akan dianggap menguatkan HAMAS.
“Kerajaan Israel tidak boleh mendakwa ia telah melakukan segala-galanya untuk membebaskan tebusan,” kata Miller. Kenyataannya menyerlahkan jurang besar antara pendirian umum Israel dengan tindakannya di belakang tabir.
Sumber: Quds News Network