Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli menyeru supaya Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa dibunuh selepas berlakunya pertempuran antara pasukan kerajaan Syria dan komuniti Druze di selatan negara itu.
Amichai Chikli menulis dalam satu hantaran di X: "Sesiapa yang menganggap Ahmad al-Shara seorang pemimpin yang sah, ia satu kesilapan besar – dia ialah seorang pengganas, pembunuh barbar yang perlu dihapuskan tanpa berlengah."
Israel melancarkan serangan ke atas pasukan kerajaan Syria di barat daya Syria untuk hari kedua pada Selasa, dengan mendakwa mereka mahu memastikan kawasan tersebut kekal bebas senjata dan melindungi komuniti Druze ketika pertempuran berdarah terus berlaku di rantau itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata mereka telah mengarahkan tentera Israel untuk menyerang pasukan Syria serta senjata yang dibawa ke bandar Druze Sweida untuk digunakan terhadap komuniti Druze.
Keganasan terbaharu di barat daya Syria bermula pada hari Ahad dengan pertempuran antara kumpulan Druze bersenjata dan pejuang Badwi di wilayah Sweida, yang telah memaksa ribuan orang melarikan diri.
Perkembangan ini muncul di tengah-tengah amaran yang semakin meningkat bahawa Israel berhasrat mengeksploitasi komuniti Druze bagi membenarkan campur tangannya di Syria, manakala Damsyik menegaskan bahawa semua komponen rakyatnya mempunyai hak yang sama.
Sejak tahun 1967, Israel telah menduduki sebahagian besar Bukit Golan. Israel telah mengambil kesempatan daripada keadaan selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad dengan menduduki zon penampan Syria serta mengisytiharkan bahawa perjanjian pengunduran tentera 1974 antara kedua-dua pihak telah terbatal.
Walaupun pentadbiran Syria yang baharu di bawah Ahmad al-Shara menegaskan bahawa mereka tidak menimbulkan ancaman terhadap Israel, Israel telah melancarkan serangan udara hampir setiap hari ke atas Syria selama beberapa bulan, yang mengakibatkan kematian orang awam serta kemusnahan tapak-tapak tentera, kenderaan dan peluru milik tentera Syria.
Sumber: Quds News Network