Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menteri Hal Ehwal Penempatan Israel, Orit Strock mengecam Lembaga Keamanan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai satu pelan yang buruk. Strock juga menyeru kerajaan haram Israel menjajah semenanjung Gaza, lapor Anadolu.


Bercakap kepada stesen radio, Galey Israel, Strock berkata rejim haram Israel tidak seharusnya dikorbankan demi ‘inisiatif yang cacat’.


“Kita tidak sepatutnya membahayakan nyawa askar kita untuk pelan yang buruk ini dan saya mungkin terpaksa meninggalkan kerajaan,” katanya.


Kenyataannya dibuat beberapa hari selepas Trump menandatangani piagam penubuhan Lembaga Keamanan di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland; sekali gus merasmikan cadangan yang telah dikemukakannya sebelum ini.


Strock mempersoalkan siapa yang akan mentadbir Gaza sekiranya tentera haram Israel masuk semula dan menduduki wilayah itu. Dia juga menyatakan bahawa langkah tersebut akan melibatkan kos yang sangat tinggi.


“Andai kita anggap tentera Israel benar-benar masuk dan menduduki Gaza — kepada siapa wilayah itu akan diserahkan? Kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA)? Kita pernah melakukannya pada 2005 dan melihat hasilnya,” katanya.


Pada tahun 2005, Israel menarik keluar tenteranya dari Gaza dan membongkar penempatan haram di bawah pelan pengunduran unilateral yang dilaksanakan semasa pemerintahan Perdana Menteri, Ariel Sharon.


Fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu merangkumi peruntukan untuk melucutkan senjata HAMAS dan kumpulan Palestin lain; pengunduran tambahan tentera Israel dari Gaza; serta pelancaran usaha pembinaan semula.


HAMAS telah menolak seruan untuk menyerahkan senjata mereka, dan mencadangkan agar senjata itu disimpan atau dibekukan. Kumpulan itu menegaskan bahawa mereka adalah gerakan penentangan rejim haram Israel yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kuasa penjajah di wilayah Palestin.


Trump mengumumkan penubuhan Lembaga Keamanan pada 15 Januari sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata. Majlis itu kemudiannya diberi kuasa melalui Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2803 pada November 2025.


Menurut Rumah Putih, Trump mempengerusikan majlis tersebut dengan sokongan daripada lembaga eksekutif pengasas yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dalam diplomasi, pembangunan, infrastruktur dan strategi ekonomi.


Walaupun Majlis Keamanan muncul selepas genosid Zionis di Gaza, piagamnya tidak menyebut secara khusus mengenai wilayah itu. Piagam tersebut menggambarkan majlis itu sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang bertujuan mempromosikan kestabilan; memulihkan tadbir urus yang sah dan boleh dipercayai; serta menjamin keamanan berkekalan di kawasan yang terjejas atau terancam oleh konflik.


Ia memberikan Trump kuasa sepanjang hayat, termasuk kuasa veto dan pelantikan ahli-ahli majlis. Para pengkritik menyifatkan struktur ini sebagai satu usaha untuk memintas peranan PBB.


Laporan terkini Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan tentera haram Israel telah membunuh lebih 71,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 171,300 orang dalam serangan mereka sejak Oktober 2023 yang telah memusnahkan Gaza.


Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, rejim haram Israel terus melancarkan serangan, mengorbankan 484 rakyat Palestin dan mencederakan 1,321 yang lain.


Sumber: Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
January 26, 2026