
Menteri Kewangan wilayah haram Israel, Bezalel Smotrich memperuntukkan 2.7 bilion shekel (kira-kira AS$843 juta) bagi tempoh lima tahun akan datang untuk memperluas aktiviti penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, dalam langkah yang digambarkan media tempatan sebagai bentuk pengilhakan de facto.
Akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth pada Isnin lalu melaporkan bahawa dana tersebut diperuntukkan untuk membina penempatan baharu, membuka jalan akses, mengukuhkan keselamatan dan memformalkan rekod tanah — merupakan jumlah yang tidak pernah diberikan sebelum ini.
Salah satu komponen utama pelan itu termasuk memindahkan tiga pangkalan tentera Israel ke kawasan utara Tebing Barat, yang digambarkan akhbar itu sebagai langkah besar.
“Berbilion-bilion shekel bertujuan untuk merombak struktur penempatan,” lapor akhbar berkenaan, sambil menjelaskan bahawa belanjawan itu meliputi pemindahan pangkalan tentera, pembangunan infrastruktur bagi puluhan penempatan baharu, pembinaan jalan akses serta peluasan sistem pertahanan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa pakej lima tahun tersebut menyasarkan semua elemen yang mengukuhkan tadbir urus rejim Israel di Tebing Barat dan pada hakikatnya membawa kepada pengilhakan wilayah itu.
Di bawah pelan tersebut, Israel akan menubuhkan ‘kluster penyerapan’ — setiap satu terdiri daripada 20 rumah mini bergerak bagi membolehkan peneroka haram berpindah masuk dan membentuk nukleus penempatan baharu.
Kerajaan haram turut akan menyalurkan 300 juta shekel (AS$93.4 juta) kepada semua penempatan baharu, termasuk 160 juta shekel (AS$49.8 juta) sebagai geran penubuhan dan 140 juta shekel (AS$43.6 juta) bagi urusan organisasi dan operasi.
Penempatan sedia ada pula akan menerima 434 juta shekel (AS$135 juta) bagi menaik taraf infrastruktur, manakala 300 juta shekel (AS$93.4 juta) tambahan disalurkan kepada Majlis Peneroka Tempatan.
Akhbar tersebut turut melaporkan bahawa Menteri Pertahanan wilayah haram Israel, Israel Katz dijangka menyalurkan dana tambahan untuk keselamatan penempatan, termasuk pemasangan pagar automatik, tapak peralatan, kamera dan sistem lain.
Smotrich berkali-kali berikrar untuk menggagalkan pembentukan negara Palestin dan menyeru rejim Israel mengilhakan kira-kira 82% wilayah Tebing Barat.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai pendudukan secara haram dan menyeru pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur.
Sumber: Anadolu Ajansi