Mesir pada Isnin menegaskan kesediaannya untuk membangunkan semula Semenanjung Gaza yang musnah akibat perang kejam Israel dalam tempoh paling singkat. Menteri Pengairan Mesir, Hani Sewilam menekankan bahawa Mesir, melalui Presiden Abdel Fattah al-Sisi, kerajaan, rakyat, serta angkatan tenteranya, menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin dari tanah mereka.
Beliau menegaskan bahawa satu-satunya penyelesaian bagi menjamin keamanan dan kestabilan di rantau ini adalah dengan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka di seluruh wilayah Palestin yang sah, termasuk Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Menurutnya, Mesir mempunyai tenaga pakar yang mencukupi bagi melaksanakan projek pembinaan semula dengan segera.
“Mesir memiliki puluhan ribu jurutera berkemahiran tinggi serta syarikat utama dalam sektor pembinaan dan kontrak, yang akan menjadi tunjang utama dalam melaksanakan rancangan ini dengan kecekapan tertinggi dalam tempoh paling singkat,”
katanya. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai butiran pelan tersebut atau tarikh pengumumannya.
Presiden Mesir turut menegaskan kepentingan komuniti antarabangsa dalam menyokong rancangan pembinaan semula Gaza tanpa memindahkan rakyat Palestin. Kaherah kini sedang merangka pelan menyeluruh bagi merealisasikan usaha ini dengan segera.
Dalam perkembangan berkaitan, Mesir akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Arab Kecemasan pada 4 Mac bagi membincangkan perkembangan serius berkaitan isu Palestin serta menentang cadangan terbaru Presiden AS, Donald Trump untuk mengambil alih Gaza dan mengusir rakyat Palestin ke Mesir, Jordan, serta negara-negara Arab dan Islam lain.
Sumber: Anadolu Ajansi, Al-Ahram Online