Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty pada Ahad berkata bahawa rancangan pembinaan semula Gaza sedang dirangka dengan penyelarasan bersama pihak Palestin dan negara-negara Arab, serta mendapat sokongan antarabangsa.
Beliau membuat kenyataan itu dalam pertemuan di Kaherah bersama delegasi Kongres Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, Darrell Issa.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir, Abdelatty menggariskan usaha intensif Mesir untuk membangunkan satu pelan menyeluruh dan berperingkat bagi pemulihan awal serta pembinaan semula di Gaza dan turut memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka.
Beliau menegaskan bahawa visi Mesir bagi pembinaan semula Gaza sedang dirangka dengan penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Palestin (PA), negara-negara Arab dan Islam, serta komuniti antarabangsa yang lebih luas.
Diplomat tertinggi itu turut menekankan keperluan untuk wujudnya horizon politik dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel yang berlarutan selama beberapa dekad serta memutuskan kitaran keganasan yang berulang.
Beliau menegaskan sokongan Mesir terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang bersatu, merangkumi Tebing Barat dan Gaza berasaskan penyelesaian dua negara. Abdelatty turut menekankan harapan agar AS terus memainkan peranan utama dalam melaksanakan semua fasa perjanjian gencatan senjata di Gaza serta memastikan semua pihak mematuhi komitmen mereka.
Selain itu, beliau menyeru penghantaran bantuan kemanusiaan yang berterusan dan dipercepatkan bagi menangani keadaan kemanusiaan yang amat kritikal di wilayah itu.
Sumber: Anadolu Ajansi