Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Sebuah kapal baharu dalam misi Freedom Flotilla, Handala, telah belayar dari Siracusa, Itali pada semalam dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan. Pelayaran ini menyusul selepas kapal terakhir, Madleen, dirampas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa pada Jun lalu.

Kapal bagi misi kali ini dinamakan sempena watak kartun Palestin, Handala — seorang kanak-kanak pelarian berkaki ayam yang memalingkan belakangnya terhadap ketidakadilan dan berikrar untuk tidak menoleh semula sehingga Palestin dibebaskan. Kapal ini membawa semangat Handala serta semangat setiap anak Gaza yang dinafikan hak terhadap keselamatan, maruah dan kegembiraan.


Pada tahun 2023 dan 2024, Handala telah belayar ke pelabuhan-pelabuhan di seluruh Eropah dan United Kingdom (UK), memecahkan sekatan media, berinteraksi dengan orang awam, serta membina solidariti melalui acara media, seni dan program pendidikan politik di setiap lokasi persinggahannya.


“Hanya beberapa minggu selepas tentera Israel secara haram merampas kapal kami, Madleen dan menahan 12 orang awam tidak bersenjata di perairan antarabangsa, kami tetap meneruskan usaha dengan sokongan solidariti global — untuk mencabar sekatan haram Israel dan memecahkan kesunyian terhadap jenayah genosid yang sedang berlaku,” menurut kenyataan gabungan itu di platform X.


Gabungan itu menyatakan bahawa mereka berhasrat memecahkan sekatan berkenaan demi kanak-kanak Gaza sambil membawa bantuan kemanusiaan bersama mesej solidariti.


Walaupun jumlah aktivis yang terlibat belum diketahui secara tepat, dengan anggaran sehingga 18 orang, dua ahli parti kiri radikal La France Insoumise (LFI) juga dijangka turut serta di atas kapal.


Kapal Madleen yang berdaftar di Britain telah berlepas dari Sicily, Itali pada 6 Jun menuju ke Gaza dalam usaha untuk memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah tersebut. Namun, tentera Israel telah merampas kapal itu pada 9 Jun dan menahan 12 anak kapalnya.


Sumber: Al-Jazeera. The New Arab, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
July 15, 2025