
Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu berkata rejimnya akan meneruskan perang terhadap Iran dengan seluruh kekuatan, sambil mendakwa bahawa rejim haram Israel bersama Amerika Syarikat (AS) hampir menguasai sepenuhnya ruang udara Tehran selepas seminggu serangan.
“Kami mempunyai pelan yang sistematik untuk menghapuskan rejim Iran serta mencapai beberapa objektif lain,” kata Netanyahu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Ahad.
Selain itu, Netanyahu turut mendakwa bahawa rejim haram Israel mempunyai ‘pelan penuh kejutan’ untuk melemahkan Tehran.“Israel telah mengubah wajah Timur Tengah seperti yang dijanjikan selepas peristiwa 7 Oktober, dan pada masa sama turut mengubah dirinya sendiri,” kata Netanyahu.
Dia turut mendakwa telah membuat keputusan berisiko tinggi bagi menghapuskan musuh-musuh yang dianggap mengancam rejim Israel.Satu perjanjian gencatan senjata dicapai pada Oktober 2025, namun sejak ia berkuat kuasa tentera penjajah terus melakukan pelanggaran melalui pengeboman dan tembakan.
Sejak 28 Februari, rejim haram Israel dan AS telah melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan ratusan orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai keselamatan. Tehran kemudian membalas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah negara haram itu.
Iran juga telah menyasarkan kepentingan AS di negara-negara Teluk dan Jordan dengan peluru berpandu serta dron. Sebahagian daripada serangan tersebut menyebabkan kematian dan kecederaan, selain merosakkan kemudahan awam yang mencetuskan kecaman daripada negara-negara Arab yang terlibat dan menuntut agar serangan tersebut dihentikan.
Terdahulu pada Sabtu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berikrar untuk menghentikan serangan terhadap negara-negara jiran kecuali sekiranya serangan terhadap Iran dilancarkan dari wilayah mereka.
Sumber: Anadolu Ajansi, TRT World